Gaya Hidup

Bagaimana Negara-Negara Di Dunia Meraikan Kelahiran Bayi Baru?

Setiap negara mempunyai cara masing-masing untuk menzahirkan rasa syukur di atas kehadiran insan baharu dalam sesebuah keluarga.

Seperti di Malaysia, biasanya orang Islam akan menyambut cahaya mata mereka dengan mengadakan kenduri aqiqah dan cukur jambul.

Untuk majlis kenduri itu, kambing akan dikorbankan dan rambut yang dipotong atau dicukur akan ditimbang dan disamakan dengan kadar emas semasa untuk disedekahkan kepada golongan fakir miskin.

Di Korea Selatan, ulang tahun pertama bayi mereka disambut dengan upacara yang dipanggil Doljanchi.

Bayi akan memakai hanbok (pakaian tradisional Korea) dan akan diletakkan beberapa objek simbolik seperti berus kaligrafi, duit, malah tukul kayu dan juga alat memanah dihadapan bayi.

Berdasarkan kepercayaan mereka, objek yang dipilih oleh bayi tersebut adalah gambaran mengenai masa hadapannya. Ini diikuti oleh jamuan dengan hidangan kuih beras pelangi dan sup rumpai laut.

Bagi bayi berketurunan Cina pula, biasanya ahli keluarga akan menyambut bulan pertama umur bayi dengan perayaan bulan penuh.

Telur rebus dengan kulitnya yang diberi warna merah adalah hadiah wajib sebagai simbol kebaikan dan juga kesuburan.

Untuk bayi lelaki, sejumlah telur bernilai ganjil akan disediakan manakala bagi bayi perempuan, jumlah telurnya perlu genap. Sebagai ganti, tetamu akan memberi angpau.

Di India pula, ia adalah perkara biasa untuk bayi perempuan ditindik telinga pada usia satu atau tiga tahun ataupun tahun ganjil umur mereka.

Perkara ini dipanggil Karnaveda Samskara. Mereka percaya dengan menindik telinga, ia membolehkan mereka mendengar bunyi suci untuk kebaikan rohani.

Ibu bapa selalunya akan mengambil nasihat daripada ahli agama untuk mengetahui hari yang paling baik mengadakan upacara ini.

Bagi orang Jawa, Tedak Siten atau upacara pijak lantai akan diadakan apabila anak mereka sudah menginjak tujuh selapan iaitu 245 hari.

Ia sebagai tanda bahawa bayi sudah bersedia untuk menjalani kehidupan. Upacara ini dimulakan dengan bayi berjalan kaki di atas pulut yang mempunyai tujuh warna.

Ini adalah sebagai simbol kemampuan untuk mengharungi cabaran. Selepas itu, upacara mandi bunga dan memilih barang (seperti orang Korea) turut akan dilaksanakan.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker