Isu SemasaTempatan

Pengasuh: Jangan cari dalam talian

Ibu bapa dinasihatkan supaya tidak mencari pengasuh untuk anak mereka secara dalam talian, sebaliknya perlu mendapatkan cadangan peribadi daripada saudara atau kenalan.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh, berkata ibu bapa juga boleh mendapatkan cadangan daripada Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia (PPBM) dan Pengasuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak (ECCE) bagi mendapatkan calon yang sesuai untuk menjaga anak mereka.

“Jangan cari pengasuh secara dalam talian. Tolong jangan memilih orang yang tidak dikenali, dapatkan cadangan peribadi seperti daripada rakan yang sudah mengenali pengasuh itu.

“Kita di kementerian mahu memastikan ibu bapa boleh terus bekerja dan kanak-kanak selamat,” katanya kepada media pada majlis pelancaran Senarai Semak/Panduan Pemilihan Pengasuh Di Rumah di sini, semalam.

Senarai semak infografik yang dilancarkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail merangkap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu adalah inisiatif fasa pertama untuk dijadikan panduan oleh ibu bapa sebelum dan selepas menghantar anak mereka kepada pengasuh, katanya.

“Infografik ini adalah mekanisme yang berbentuk sementara sebelum sistem semakan yang sedang dibangunkan siap sepenuhnya tahun depan,” katanya.

Yeoh berkata apabila sistem senarai semak siap sepenuhnya, orang ramai boleh memeriksa latar belakang pengasuh tersebut.

Senarai semak atau panduan sebelum menghantar anak menggariskan lima aspek iaitu persekitaran, peribadi pengasuh, pengalaman dan kelayakan pengasuh, keluarga/ahli isi rumah tinggal bersama dan perkhidmatan pengasuh sedia ada.

Semakan yang perlu selepas menghantar anak untuk tanda penderaan emosi, fizikal atau seksual pula ialah respons anak, respons pengasuh dan tanda penderaan.

“PPBM, ECCE dan beberapa doktor pakar turut terbabit dalam menghasilkan infografik ini,” katanya.

– BeritaHarian/mStar

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker