Isu SemasaPolitikTempatan

ICERD Dan Ketegangan Perkauman di Malaysia

Beberapa minggu yang lalu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad ketika berucap di Perhimpunan Agung PBB dengan bangga mengumumkan kepada dunia bahawa Malaysia Baharu akan menyokong prinsip yang dipromosikan oleh PBB dalam hubungan antarabangsa.

Ini termasuk prinsip kebenaran, hak asasi manusia, kedaulatan undang-undang, keadilan, kesaksamaan, tanggungjawab dan akauntabiliti, serta kemapanan.

Dalam konteks ini, dan ketika mengakui bahawa ia adalah isu yang sensitif, PM “berjanji untuk meratifikasi semua instrumen UN yang masih ada (termasuk ICERD) yang berkaitan dengan perlindungan hak asasi manusia”.

Ucapannya itu mendapat maklum balas yang positif baik di dalam dan di luar negara sebagai tanda komitmen kerajaan baru terhadap hak asasi manusia dan demokrasi.

Polemik Ketuanan Melayu

Namun begitu, ucapan terbabit menerima reaksi negatif daripada Umno-PAS dan kumpulan Ketuanan Melayu yang lain di mana mereka menegaskan bahawa ICERD secara langsung mencabar hak Melayu, kedudukan raja-raja dan juga peranan Islam di Malaysia. Mereka menuntut agar kerajaan membatalkan rancangan untuk mengesahkan ICERD.

Ditambah pula dengan laporan bahawa wujud kumpulan tidak diketahui yang mengedarkan Bible kepada orang Melayu di sekolah dan masjid, Umno-PAS kini mempunyai semua ramuan yang diperlukan untuk mewujudkan ribut politik yang sempurna.

Presiden Umno, Zahid Hamidi, dengan tegas memberi amaran bahawa orang Melayu akan mengamuk jika ICERD disahkan. Pemimpin PAS, Hadi Awang, pula menegaskan bahawa “wajib bagi umat Islam untuk menentang ICERD” kerana ia akan mengurangkan kedudukan istimewa Islam di negara ini dan melemahkan orang Melayu.

Perhimpunan Anti-ICERD kini sedang dirancang di seluruh negara dengan yang terbesar dijadualkan pada 8 Disember ini. Dalam pada itu, kempen anti-DAP, mungkin yang paling buruk pernah dilihat setakat ini, kini turut dijalankan.

Pusingan U Pemimpin PH

Pada mulanya, pemimpin PH mempertahankan keputusan untuk mengesahkan ICERD dan isu ini dibangkitkan oleh Perdana Menteri sendiri dalam acara antarabangsa yang sangat berprofil tinggi.

Sebagai contoh, Mujahid Yusof Rawa (Menteri di Jabatan Perdana Menteri untuk urusan agama) menegaskan bahawa ICERD “tidak akan memberi kesan terhadap apa yang dilindungi di bawah Perlembagaan Persekutuan”. Presiden PPBM dan Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin turut menyatakan perkara yang sama.

Walau bagaimanapun, apabila tekanan semakin meningkat, resolusi PH runtuh dan menteri-menterinya membuat pusingan U berkenaan isu ICERD.

Muhyiddin mula menyatakan kebimbangan secara terbuka mengenai sama ada ICERD akan menjejaskan kedudukan istimewa orang Melayu. Syed Saddiq, ketua Pemuda PPBM dan Menteri Belia dan Sukan, melahirkan kebimbangan bahawa ICERD boleh menjejaskan peruntukan perlembagaan yang berkaitan dengan hak Melayu. Menteri-menteri lain turut menyatakan bantahan mereka terhadap ICERD kecuali Menteri Luar Negeri Saifuddin Abdullah (yang terus mempertahankan ICERD).

Presiden PKR, Anwar Ibrahim yang sentiasa memilih jalan tengah, mengatakan bahawa sementara ICERD tidak bertentangan dengan perlembagaan, ianya tiada keperluan untuk disahkan. Di Parlimen, Anwar menyertai suara pembangkang untuk menangguhkan pengesahan ICERD.

Sudah tentu, mereka semua berhati-hati dan tidak menyatakan bahawa Perdana Menteri sendiri yang mengejutkan semua orang dengan menimbulkan isu terbabit di PBB. Mahathir sendiri akhirnya bersetuju bahawa hampir mustahil untuk Malaysia mengesahkan ICERD kerana kerajaan tidak mempunyai majoriti dua pertiga yang diperlukan untuk meminda perlembagaan.

Beliau juga menambah bahawa beberapa aspek ICERD tidak sesuai untuk Malaysia. Di sini timbul persoalan mengapa Perdana Menteri harus membangkitkan isu ini di PBB?

Menuding jari

Ahli-ahli politik bukan Melayu yang pada ketika ini takut dituduh sebagai dalang, sedang mencari perlindungan. Setiausaha Agung DAP dan Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, “Kami tidak menaikkan isu itu. Ia adalah Waytha (menteri di Jabatan Perdana Menteri).”

Waytha Moorthy, yang menjaga portfolio Jabatan Perdana Menteri terpaksa mengambil alih isu ICERD dan kini telah dituduh sebagai dalang di sebalik semua kekacauan yang timbul.

Lebih daripada 115,000 tandatangan juga telah dikumpulkan dalam petisyen untuk menuntut peletakan jawatan Waytha.

Jika Waytha bersalah, itu hanya kerana tanggungjawabnya bertindak terhadap ucapan perdana menteri di PBB. Lagipun, menteri luar negeri telah membentangkan ucapan yang sama di Parlimen dan menerima sokongan PH sebulat suara untuk menjadikannya dasar rasmi. Malangnya untuk Waytha, semua rakan-rakan Kabinetnya meninggalkannya untuk menjadi dalang.

Kegagalan besar PH

ICERD telah menjadi tamparan politik yang serius kepada kerajaan PH. Walaupun niatnya baik, kerajaan gagal  mencipta konsensus dalam menguruskan proses pengesahan ICERD. Mereka tidak mempunyai satu suara yang sama. Lebih buruk lagi, mereka tidak mempunyai keberanian untuk menentang kemaraan Umno-PAS.

Penolakan PKP terhadap isu ICERD kini telah memberi Umno-PAS satu kelebihan. Dalam isu ini, Umno-PAS nampaknya telah mengetepikan PH. ICERD juga telah menjadikan Umno-PAS sebagai hero yang membela nasib kaum Melayu.

Dengan mengeksploitasi isu ICERD, Umno-PAS kini telah memaksa pemimpin Melayu PH untuk bersaing dan membuktikan siapa yang mampu mempertahankan Ketuanan Melayu. Oleh itu, semua ahli politik Melayu kini harus bersumpah bahawa mereka menjunjung prinsip Ketuanan Melayu jika mereka mahu memegang negara.

Sekiranya PH tidak bertindak pantas dan tegas untuk memboloskan diri dari kekacauan ini, ia akan menjadi penghujung kepada era Malaysia Baharu. – Free Malaysia Today

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker