AntarabangsaFesyen

Dolce & Gabbana Dituduh Rasis, Batal Pertunjukkan Fesyen Di China

Jenama fesyen terkenal Dolce & Gabbana telah membatalkan pertunjukan fesyen di China selepas video kontroversial dan mesej peribadi berunsur rasisme di Instagram menjadi tular.

Ia didakwa dihantar oleh pengasas bersama Stefano Gabbana. Namun, pereka Itali tersebut telah menafikan menulis mesej itu.

Ramai menuduh jenama itu bersikap perkauman, dan ramai model dan selebriti bertindak memboikot jenama itu menyebabkan mereka terpaksa menangguhkan acara tersebut di Shangai kepada malam Rabu – hanya beberapa jam sebelum ia bermula.

Kontroversi bermula dengan satu siri video promosi, yang dikeluarkan oleh jenama mewah itu di media sosial, yang menampilkan seorang model Asia yang bergelut untuk makan makanan Itali menggunakan chopstick.

Kemudian, satu screenshot yang menunjukkan beberapa mesej peribadi di mana Gabbana mengadu tentang kritikan terhadap video promosi itu menjadi tular. Pereka Itali itu dituduh membuat kenyataan menghina ke arah China dan orang Cina ketika mempertahankan iklan tersebut.

Walaupun begitu, Gabbana dan jenama itu telah memaklumkan bahawa akaun Instagram mereka telah digodam.  Gabbana menaikkan screenshot perbualan tersebut dengan perkataan “not me” di atas imej itu.

Video yang dipersoalkan disiarkan di laman sosial Instagram, Facebook dan Twitter D & G, serta akaun Weibo mereka di China.

Ia dicipta untuk mempromosikan “The Great Show,” yang merupakan “penghormatan kepada China.”

Tiga video berdurasi 40 saat berkenaan dilihat sebagai mengejek dan mempermainkan budaya China. Keadaan menjadi lebih teruk apabila mesej peribadi Gabbana di Instagram menjadi tular.

“Kami sangat menyesal atas kemarahan yang disebabkan oleh posts ini,” kata mesej yang disiarkan di akaun rasmi Instagram Dolce dan Gabbana. “Kami menghormati China dan rakyat China.”

Jenama tersebut telah mengeluarkan kenyataan rasmi kepada akhbar yang menyatakan mereka hanya mahu memberi penghormatan menerusi pertunjukkan fesyen yang didedikasikan kepada China.

“Ini bukan sekadar pertunjukan fesyen, tetapi sesuatu yang kami lakukan berdasarkan cinta terhadap China dan semua orang di seluruh dunia yang suka Dolce & Gabbana.”

Tetapi bagi kebanyakan pihak, penjelasan ini tidak mencukupi. Dalam catatan Instagram, model China-Perancis, Estelle Chen, yang menarik diri daripada pertunjukkan itu, meragui keikhlasan penjelasan dan melabelkan tindakan mereka “tidak sopan dan rasis.”

“Anda tidak suka China, anda suka duit,” katanya. “China kaya ya tetapi China kaya dengan nilai-nilai budaya dan rakyatnya tidak akan mengeluarkan sesen pun pada jenama yang tidak menghormati itu.”

Model dan kakitangan lain daripada acara itu membalas dengan memaparkan imej lencana acara itu dengan “not me” yang ditulis dalam huruf besar berwarna merah.

Ejen penyanyi Karry Wang, duta besar Dolce & Gabbana,  telah mengesahkan bahawa bintang itu tidak akan menghadiri pertunjukkan tersebut. Agensi pemodelan China Bentley juga mengumumkan bahawa 24 modelnya telah menarik diri daripada acara itu.

Ia bukan kali pertama Dolce & Gabbana telah mencetuskan kontroversi di Asia. Pada 2013, lebih 1,000 penunjuk perasaan mengepung salah satu kedai Dolce & Gabbana di Hong Kong selepas pengawal keselamatan cuba melarang penduduk tempatan – tetapi bukan pelanggan dari luar negara atau China – daripada mengambil gambar. Jenama itu kemudian meminta maaf atas kejadian yang berlaku.

Sumber: CNN

Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker