Isu SemasaTempatan

ICERD: Menteri dan masyarakat

Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui menteri tidak sensitif apabila mengeluarkan kenyataan mengenai cadangan kerajaan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata, mereka sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang lebih cekap dan matang. Ketidakcekapan menteri itu adalah perkara yang berlaku dalam kerajaan yang baru dibentuk dalam tempoh enam bulan.

“Saya percaya landasan (Islam agama persekutuan dan hak keistimewaan orang Melayu) ini bukan ditolak kerajaan lantaran kenyataan (menteri) mungkin kadang-kadang mengelirukan.

“Ini kerana, kerajaan baru (dibentuk) enam bulan. Menteri juga baru dan kenyataan tak semua cekap dan matang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Syarahan Za’ba 2018 bertajuk Melayu dan Islam Dalam Era Malaysia Baharu di Dewan Semarak Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya, hari ini.

Ketika ditemui media berhubung tegurannya kepada menteri, tanpa menamakan siapa, Anwar mahu mereka peka terhadap sensitiviti di negara ini supaya ia tidak memberi kesan buruk masyarakat.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, sebelum membuat kenyataan, ia perlu diteliti terlebih dulu supaya tidak mengguris perasaan masyarakat.

“Kita harus tahu sensitiviti masyarakat. Kenyataan harus direnungkan implikasi. Kebimbangan ada.

“Saya tak setuju dengan kadang-kadang teguran melampau mengatakan kita tak lagi Melayu, tekan masyarakat Melayu.

“Saya berpendapat tak payah (perlu) bagi ruang bincang begini kerana keutamaan kita kalau jamin keadilan… tidak ada lagi keresahan,” katanya.

Dalam pada itu, kerajaan tidak akan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD).

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini berkata, kerajaan akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang mana di dalamnya termaktub kontrak sosial yang telah dipersetujui oleh wakil semua kaum semasa pembentukan negara ini.

Sebelum ini, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan adalah mustahil untuk melaksanakan ICERD kerana pelaksanaannya memerlukan penggubalan semula Perlembagaan Persekutuan.

“Untuk menggubal semula Perlembagaan Persekutuan, ia memerlukan dua pertiga majoriti Parlimen,” katanya kepada media selepas penutupan Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) Ke-26, di Papua New Guinea pada 18 November lalu.

Sebelum ini, satu perhimpunan besar-besaran membabitkan penyertaan ahli PAS dan UMNO dirancang diadakan di ibu negara pada 8 Disember ini bagi membantah cadangan ratifikasi ICERD.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dilaporkan berkata, perhimpunan itu bertujuan menyatakan bantahan orang Melayu dan Islam terhadap tindakan Kerajaan Persekutuan yang dikatakan mahu meratifikasi atau mengesahkan ICERD.

Pengarah Perhubungan Awam PATRIOT, Dr Wong Ang Peng berkata, banyak pihak termasuk pakar undang-undang sudah menyuarakan pandangan mereka berhubung perkara itu dan langkah menangguhkan ratifikasi ICERD adalah langkah bijak.

“Kerajaan mengambil langkah bijak dengan mengumumkan tidak akan meneruskan ICERD yang mana ia dilihat dapat ‘menyejukkan’ ketegangan selepas beberapa insiden yang saya rasa tidak perlu berlaku.

“Pakar undang-undang sudah memberikan pandangan mereka. Negara kita secara keseluruhannya perlu bergerak ke depan dan matang dengan rakyat perlu mempercayai satu sama lain, saling membantu serta bersama-sama menjadikan Malaysia hebat sekali lagi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, apabila tiba masanya ratifikasi ICERD tidak akan menjadi isu yang perlu diperdebatkan.

“Buat masa ini, keutamaan negara kita untuk menyatukan semua rakyat Malaysia untuk menghadapi kesusahan ekonomi yang akan datang,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau memuji tindakan pantas Polis Diraja Malaysia (PDRM) memanggil individu yang mengeluarkan ucapan atau pesanan tular berbaur kebencian dan hasutan.

“Memanggil orang yang bertanggungjawab termasuk menteri dan ahli politik adalah tindakan yang betul untuk memudahkan siasatan.

“Kita mempunyai undang-undang sedia ada yang mencukupi untuk melakukan siasatan tanpa Akta Hasutan untuk mengambil tindakan terhadap pelaku,” katanya.

Bulan lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy, dilaporkan menyatakan kerajaan akan meratifikasi atau mengesahkan enam bentuk perjanjian antarabangsa termasuk ICERD dalam suku pertama tahun depan.

– HarianMetro/BeritaHarian

– photo/TheMole

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker