AntarabangsaIsu Semasa

Kelas Renang Percuma Untuk Pembantu Rumah

Setiap hari Ahad di Hong Kong, pembantu rumah di bandar itu akan mengunjungi taman, bertebaran di laluan pejalan kaki atau bersiar-siar di jambatan bagi menghabiskan satu-satunya hari mereka dibenarkan bercuti.

Dengan kedudukan yang terpinggir dalam masyarakat dan berpendapatan rendah, lebih daripada 300,000 pembantu rumah, terutamanya wanita dari Indonesia dan Filipina, sukar untuk mengakses kemudahan awam seperti perpustakaan dan pusat rekreasi.

Sesetengah NGO mengatakan selain masalah kewangan, pembantu juga menghadapi diskriminasi terutama jika mereka berada dalam kumpulan.

Kebanyakan mereka menghadapi kesulitan untuk menyediakan maklumat keahlian seperti bukti alamat jika majikan tidak membekalkannya.

Tetapi Marilyn Maliglig telah menemui cara alternatif untuk menghabiskan hari beliau iaitu dengan menghadapi fobia airnya di kelas berenang percuma untuk pembantu rumah di Hong Kong.

“Saya tidak boleh terapung, itu masalahnya,” kata pembantu rumah berusia 41 tahun itu sebelum kelas pertamanya. “Saya tidak boleh berenang di dalam air sama sekali.”

Walaupun bandaraya ini banyak bergantung kepada pembantu rumah, beberapa pembantu rumah dihalang daripada menggunakan kolam renang ketika masa lapang mereka di kompleks kediaman tempat mereka bekerja.

Mereka hanya diberi satu hari cuti dalam seminggu yang mana mereka akan menghabiskan masa di sekitar bandar raya dengan menikmati muzik, makanan, dan menari serta bersembahyang.

Perenang British, Simon Holliday berkata dia mendapat ilham untuk menubuhkan kelas berenang untuk pembantu rumah selepas melihat sekumpulan pembantu rumah yang kelihatan bosan dan duduk di atas kotak kadbod di tepi jalan.

“Ramai orang berasa simpati terhadap pembantu dan sumbangan mereka kepada masyarakat Hong Kong sangat besar. Ramai juga yang mahu memberi mereka peluang untuk melakukan sesuatu kepada diri mereka sendiri,” kata Holliday.

Dikenali sebagai Splash, pusat kebajikan Holliday menawarkan pembelajaran berenang secara percuma untuk komuniti terpinggir di Hong Kong, termasuk pelarian.

Para pembantu rumah mengatakan bahawa mereka tidak mampu membayar kelas berenang dan kelas percuma ini memberi mereka peluang untuk belajar kemahiran baru dan untuk berehat selepas enam hari bekerja.

“Kami mahu melakukan perkara lain. Kerana kita selalu melakukan perkara yang sama di rumah,” kata Jasmine Arcana, dari Filipina yang telah bekerja di Hong Kong sebagai pembantu rumah selama lapan tahun.

Hampir 1,200 pembantu rumah telah mengambil bahagian dalam program itu sejak ia bermula tiga tahun lalu.

Sesetengah daripada mereka telah menjadi perenang terbuka, mengambil kesempatan untuk bermain di pantai Hong Kong setiap kali hari cuti.

Russell Vertudazo takut air sehingga dia mengikuti kelas di Splash dua tahun lalu dan kini dia mempunyai baju renang dan gogel yang akan digunakan setiap Ahad bersama perenang lain di sepanjang Teluk selatan Pulau Hong Kong.

Vertudazo, 31, berkata sebab utama dia mula berenang adalah untuk membuat kawan baru, seperti kebanyakan pembantu rumah yang lain.

“Kebanyakan kita di Hong Kong tidak mempunyai banyak tempat untuk pergi. Saya gembira apabila dapat berenang sejauh yang saya boleh. Saya berasa bebas,” katanya.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker