Isu SemasaSains

Ke Mana Hilangnya Saintis Malaysia?

Berita tentang penemuan lukisan dinding tertua dunia di Kalimantan, Indonesia minggu lalu telah mendapat perhatian ramai.

Para pengkaji percaya bahawa dinding tersebut berusia sekurang-kurangnya 40,000 tahun lamanya, lebih lama daripada lukisan di gua Perancis dan Sepanyol yang sebelum ini diperkirakan untuk menjadi lukisan tertua dunia. 

Imej berwarna merah yang sangat besar (lebih kurang 1.5m lebar) ini menyerupai lakaran seekor binatang yang berkemungkinan seekor lembu liar yang ditemui di hutan Borneo.

Haiwan tersebut mungkin seekor banteng, haiwan yang sangat dikenali di Asia Tenggara.

Pakar arkeologi dan geokimia dari Griffith University di Australia, Maxime Aubert yang merupakan penulis utama bagi kajian ini dan telah menerbitkan penemuan ini di dalam jurnal Natureberkata ia kini merupakan lukisan figuratif terawal dijumpai.

Mengapa ramai orang tertarik dengan lukisan gua?

Lukisan di dalam gua merupakan sebuah perkara menakjubkan dalam sejarah manusia. Ia memperlihatkan percubaan pertama dalam meluahkan idea artistik dan perkara penting bagi nenek moyang kita yang terdahulu.

Lukisan gua telah ditemui di serata dunia dan meniliti lukisan primitif ini telah mendedahkan persamaan dunia yang menakjubkan.

Sebelum ini, kepercayaan yang diketahui ramai ialah lukisan gua ini berasal daripada Eropah di mana contoh terbaik dan tertua yang pernah dijumpai terdapat situ dan kemahiran ini telah tersebar ke seluruh pelusuk.

Oleh itu penemuan di Borneo ini bakal memberi kita kisah yang berlainan dari sebelum ini.

Pakar arkeologi telah menemukan lukisan gua dan ukiran purba berkurun lamanya tetapi hanya di pertengahan abad ke-20 barulah usia lukisan tersebut boleh diketahui.

Bagaimana Para Saintis Mengetahui Tentang Usia Lukisan Gua?

Lukisan gua ini mengandungi karbon radioaktif yang membolehkan saintis mengetahui usia lukisan tersebut dengan mengukur berapa lama karbon tersebut boleh terurai.

Walau bagaimanapun tidak semua lukisan ini mempunyai karbon untuk mengetahui usia mereka. Oleh itu kemungkinan besar lukisan lebih tua mungkin terdapat di luar sana tidak dapat dikesan umur mereka. Malah separuh usia radioaktif karbon ini hanya bertahan 5,730 tahun.

Sampel dengan usia 40,000 tahun atau lebih tua daripada itu juga kemungkinan besar sudah hilang karbonnya.

Baru-baru ini, saintis telah menemukan sebuah cara baharu untuk mengetahui usia.

Apabila air turun ke bawah di dinding gua, ia akan meninggalkan kesan lutcahaya yang dikenali sebagai aliran batu (flowstone).

Jika aliran batu ini mengandungi uranium, ia akan mereput pada kadar yang teratur dan boleh diramalkan.

Bagaimana saintis Australia boleh terlibat dalam penemuan di Indonesia?

Aubert telah dijemput untuk bersama dua orang pengkaji Indonesia, Pindi Setiawan, ahli arkeologi di Institut Teknologi Bandung dan Adhi Agus Oktaviana, pengkaji dari Pusat Penelitian dan Pengembangan Arkeologi Nasional (Indonesia) di mana kedua-dua mereka telah menghabiskan masa bertahun-tahun mengkaji lukisan gua di kawasan pedalaman Indonesia.

Perkara ini juga telah menunjukkan betapa pentingnya kerjasama di antara badan antarabangsa dalam sesebuah kajian tempatan tetapi pada masa yang sama ini juga menunjukkan para pengkaji di negara sedang membangun masih perlu diketuai oleh pengkaji negara maju.

 

Meletakkan kajian sains sebagai perkara yang tidak diutamakan di negara kita juga telah menyebabkan perkara sebegini berlaku.

Di Malaysia juga pernah terjadi sebegini di tahun 2009, apabila sebuah kumpulan saintis dari University of York yang diketuai oleh Professor Chris Thomas telah melakukan kajian ke atas rama-rama di Gunung Kinabalu.

Ia merupakan kajian yang diulang di tempat yang sama oleh sekumpulan pelajar dari United Kingdom empat dekad sebelum itu.

Kajian oleh enam orang berserta salah seorang pengkaji asal telah mendapati bahawa secara purata, rama-rama ini telah menaikkan julat ketinggian mereka sehingga 67 meter apabila suhu meningkat.

Penemuan ini dikeluarkan di sebuah jurnal berprestij, Proceedings of the US National Academy of Sciencesyang telah mencadangkan bahawa pemanasan global telah memaksa spesies tropika untuk beralih ke lokasi lebih tinggi pada kadar lebih dari 1 meter setiap tahun.

Penemuan kajian ini juga telah disokong oleh kajian daripada spesies tropika di Madagascar, Monte Verde dan Costa Rica serta spesies temperat di Amerika Utara dan Eropah.

Walau bagaimanapun, persoalannya sekarang ialah di mana saintis Malaysia yang sepatutnya melakukan kajian sebegini di tanah air sendiri?

Asia Tenggara merupakan pusat biodiversiti bumi yang menjadi pusat eksperimen lapangan oleh ramai pengkaji alam yang telah memberi banyak sumbangan kepada sains.

Ini termasuk Alfred Russel Wallace bersama-sama Charles Darwin yang terkenal dengan “Mengenai Asal Spesies Melalui Pemilihan Semula Jadi”.

Charles Darwin kemudiannya melakukan pemerhatian di Amerika Selatan terutamanya Pulau Galapagos manakala Wallace telah melakukan kerja lapangan di Tanah Melayu dan Borneo. Beliau kemudiannya menerbitkan sebuah buku bertajuk  The Malay Archipelago pada tahun 1869. 

Berhubung dengan itu, kajian bersama pada skala global perlu diteruskan tetapi kita perlu cuba untuk menjadi ketua kajian apabila kajian tempatan dilakukan.

Ini sejajar dengan ucapan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semasa ucapan penerimaan Ijazah Kehormat Doktor di  National University of Singapore (NUS) bahawa perlunya kerjasama serius di antara NUS dan Universiti Malaya.

Artikel ini merupakan terjemahan artikel terbitan NST yang ditulis oleh Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Zakri Abdul Hamid, pemenang Midori Biodiversity Prize 2018 dan ahli lembaga mewakili Asia di Global Research Council.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker