Sukan

Cheng Hoe Masih Percayakan Sumareh

Walaupun telah bermain untuk Malaysia di dalam dua daripada tiga perlawanan dalam Kumpulan A Piala AFF ketika menentang Kemboja dan Vietnam, impak Mohamadou Sumareh, pemain naturalisasi pertama Malaysia di era moden yang berasal dari Gambia masih belum dapat dirasai apabila dia masih bergelut bagi mencapai prestasi sebenarnya.

Walaupun begitu, jurulatih kebangsaan Tan Cheng Hoe masih mempunyai keyakinan dan meletakkan harapan tinggi kepada penyerang pasukan Pahang itu dan berharap agar Sumareh boleh mendapatkan kembali sentuhan berbisanya apabila mereka berdepan Myanmar di dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada hari Sabtu.

Menurut Cheng Hoe, Sumareh mempunyai keupayaan dan ciri-ciri unik yang membuatkan dia sebagai aset yang bernilai buat Harimau Malaya, terutamanya apabila mahu mengejar gol.

“Kita dapat lihat apabila dia bermain untuk Pahang di dalam Liga Super musim lepas, dia bergitu berbisa ketika berlari di kawasan lawan dari bahagian kanan, dan itu membuka ruang buat barisan serangan Pahang menjaringkan gol.

“Saya percaya dia boleh membantu pasukan kebangsaan dengan cara yang sama, cuma dia perlu diberikan masa untuk melakukannya.

“Saya akan terus memberikannya peluang dan berharap dia dapat bermain dengan baik terutamanya ketika menentang Myanmar, di mana saya akan mengharapkannya untuk merobek benteng pertahanan mereka,” ujar Cheng Hoe apabila ditemui selepas sesi latihan di pusat latihan Universiti Sains Malaysia (USIM) di Bangi.

Ketika perlawanan pertama menentang Kemboja di Stadium Olimpik di Phnom Penh, Sumareh gagal menayangkan pertunjukkan yang meyakinkan, apabila pergerakannya di dalam kawasan lawan sentiasa di gagalkan oleh barisan pertahanan Kemboja.

Sebaliknya, rakan penyerang Pahang Norshahrul Idlan Talaha yang muncul sebagai juara apabila dia menjaringkan gol tunggal yang membawa kemenangan kepada Malaysia. Sumareh kemudiannya tidak diturunkan ketika perlawanan kedua menentang Laos akibat kecederaan, dan sekali lagi Norshahrul yang menjadi penyelamat apabila Malaysia menang 3-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Walau bagaimanapun, dalam perlawanan ketiga ketika menentang Vietnam di Hanoi, Cheng Hoe kembali memasukan Sumareh di dalam kesebelasan utama, tetapi dia tidak begitu efektif dan akhirnya ditukarkan di separuh masa kedua.

Kemenangan ke atas Myanmar di perlawanan terakhir Kumpulan A dengan jarak gol yang selesa adalah satu keperluan jika Malaysia mahu berharap untuk mara ke pusingan separuh akhir, dan Cheng Hoe berharap Sumareh dan pemain serangan lain dapat bermain dengan baik dan membawa pasukan kebangsaan ke pusingan seterusnya.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker