Gaya HidupIsu SemasaKerjayaSains

3 Wanita Hebat Pemenang Anugerah L’Oréal-UNESCO Dengan Matlamat Untuk Menangani Masalah Alam Sekitar Dan Penyakit

Anugerah L’Oréal-UNESCO Wanita dalam Sains di Malaysia mula menganugerahkan para wanita yang tidak kenal lelah menangani masalah kritikal sejak tahun 1998.

Tahun ini tiga anugerah telah diberikan kepada Dr Chai Lay Ching, Dr Lam Sze Mun dan Dr Norhayati Abdullah dengan hadiah berupa geran bernilai RM30,000 untuk membantu dalam kajian mereka.

Mereka telah dipiih daripada 157 saintis wanita di Malaysia yang berumur kurang daripada 40 tahun.

Sehingga kini sebanyak 40 pengkaji wanita telah dianugerahkan penghargaan ini dengan nilai lebih daripada RM1juta.

Tahun ini, L’Oréal-UNESCO turut melancarkan Juara Lelaki untuk Wanita Salam Sains, sebuah inisiatif kepada saintis lelaki untuk menggalakkan lagi sumbangan kepada keseimbangan jantina dalam sains.

Mengesan bakteria berbahaya dalam ayam mentah

Terdapat banyak kajian di Malaysia menunjukkan kebanyakan ayam mentah di pasaran terdapat bakteria salmonella yang menjadi punca penyakit usus.

Kajian Dr Chai ialah berdasarkan pengesanan kompaun organik tidak menentu (VOC) yang dihasilkan oleh bakteria. 

“Ujian makmal konvensional ke atas ayam mentah adalah sangat perlahan. Ia tidak boleh lagi menampung permintaan pada skala tinggi seperti yang berlaku sekarang. Dengan permintaan pasaran tinggi ini, ia adalah sangat penting untuk mewujudkan biosensor berdasarkan VOC untuk mengesan bakteria patogen di dalam makanan,” kata Dr Chai yang kini berusia 37 tahun kepada TheStar.

Dr Chai yang juga merupakan pensyarah kanan di Universiti Malaya sedang membina sebuah alat pengesan yang mudah untuk dikendali bagi mengesan bakteria patogenik dalam makanan.

Alat ini diharapkan dapat membantu menyelamatkan nyawa dan mengurangkan kadar kematian akibat keracunan makanan.

Prototaip alat biosensor VOC ini disasarkan untuk siap pada tahun 2023.

Misi menghasilkan air lebih bersih

Mengenang masa kecil Prof. Madya Dr. Norhayati Abdullah, 38 tahun yang tinggal di sebuah perkampungan di kelilingi pokok buah, pokok getah dan kelapa sawit di Labis, Johor telah menginspirasikan kajiannya ini.

Bau yang dikeluarkan oleh efluen kilang minyak kelapa sawit (POME) yang terdiri daripada kompaun ammonia dan sulfida sering mengeluarkan bau yang tidak enak dan mencemarkan air telah menyebabkan Dr Norhayati mencari alternatif untuk merawat POME.

Dr Norhayati yang juga merupakan pensyarah Universiti Teknologi Malaysia di Fakulti Biosains dan Kejuruteraan Perubatan fokus untuk menggunakan butiran aerobik enapcemar daripada biji benih mikroorganisma untuk memecahkan kompaun organik air buangan kepada komposit yang lebih mudah.

Dengan itu ia membantu menghasilkan buangan air yang lebih selamat.

Beliau yang telah melakukan kajian menggunakan butiran aeronik enapcemar ini sejak 2009 berkata teknologi ini adalah sangat baharu dalam rawatan sisa minyak kelapa sawit. Oleh itu lebih kajian perlu dilakukan dengan harapan ia juga boleh digunakan dalam rawatan air oleh industri lain seperti tekstil, kertas dan susu.

Merawat sisa kumbahan dan menghasilkan elektrik pada masa yang sama

Kajian Dr Lam Sze Mun fokus menghasilkan air dan tenaga mampan untuk merawat sisa air yang dihasilkan oleh perumahan tanpa pencemaran tinja/kotoran.  

Biasanya rawatan sisa air hanya menguraikan komponen organik tetapi Dr Lam mahu menguraikan komponen organik dan sekaligus memulihkan tenaga. Oleh itu beliau mengkaji penggunaan sel bahan bakar photocatalytic (PFC) dalam merawat sisa buangan air dan pemulihan tenaga.

“PFC telah menarik perhatian dunia kerana keupayaannya untuk merawat sisa air dan menghasilkan elektrik pada masa yang sama. Ia dilihat sangat baik untuk menangani masalah pencemaran dan bantu menghasilkan elektrik,” kata pembantu professor di Universiti Tunku Abdul Rahman ini.

Jika Dr Lam berhasil dalam kajian ini, Malaysia boleh bergerak ke arah teknologi hijau dalam bidang tenaga dan alam sekitar.

Pada usia 34 tahun, Dr Lam merupakan penerima geran termuda dari L’Oréal-UNESCO dan beliau percaya setiap wanita boleh terus maju dalam apa jua bidang dengan bantuan, kecekalan dan keazaman.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker