AntarabangsaIsu Semasa

Pelamin Cinta Warga Palestin-Syria Musnah Angkara Israel

Apabila rakyat Palestin mengembara keluar dari rumah mereka berikutan serangan terbaru Israel di Gaza, mereka melihat sesuatu yang luar biasa berhampiran sisa bangunan al-Rahma yang dibom.

Tergantung di sebuah bilik tidur apartmen adalah sehelai baju pengantin yang sebahagiannya hancur, ditutupi dengan kotoran dan ditusuk dengan serpihan runtuhan.

Ketika orang ramai kehairanan melihat gaun berkenaan, tidak ramai yang tahu bahawa pakaian itu membawa sebuah kisah cinta, tragedi dan tekad sejak lima tahun lalu.

Image result for a palestinian-syrian love

Pada tahun 2013, Fadi al-Ghazali, yang berusia 22 tahun dari Gaza, bertemu dengan Yara al-Zoubi, seorang wanita berusia 21 tahun dari bandar Sheikhoun, Syria melalui Facebook.

“Saya tahu Yara adalah jiwa saya dari saat pertama berkenalan. Dia telah melihat perkara-perkara yang tidak dapat dibayangkan oleh minda manusia seperti saya yang juga terselamat dari tiga peperangan di Gaza pada 2008, 2012 dan 2014. Jadi, kami saling memahami,” kata Fadi kepada Al Jazeera.

Walaupun menghadapi halangan geografi dan politik, pasangan itu tekad untuk bertemu antara satu sama lain.

“Impian kami adalah untuk bertemu, walaupun semua orang mengejek impian itu kerana saya tinggal di Semenanjung Gaza yang dikepung oleh tentera Israel manakala Yara pula tinggal di Syria yang musnah akibat perang,” kata Fadi.

Dalam masa yang singkat, Fadi melamar Yara dan keluarganya kemudian menghubunginya untuk mengatur pertunangan mereka. Fadi menghabiskan lima tahun selepas itu bekerja sebagai tukang masak untuk membayar perkahwinan mereka dan membeli rumah pertama mereka.

Sementara itu, selepas beberapa kali memohon, Yara akhirnya mendapat kelulusan dari pihak berkuasa Mesir untuk memasuki Semenanjung Gaza melalui laluan sempadan Rafah.

Satu wilayah lebih daripada dua juta orang, Gaza telah berada di bawah sekatan yang dikenakan oleh Israel selama 11 tahun lalu, yang telah mengehadkan pergerakan rakyat Palestin untuk masuk dan keluar.

Israel menarik balik tenteranya dan peneroka dari kawasan itu pada tahun 2005 tetapi kerana kebimbangan keselamatan, mengekalkan kawalan ketat sempadan darat dan lautnya. Mesir juga menyekat pergerakan masuk dan keluar dari Gaza melalui sempadannya.

“Ia adalah satu keajaiban untuk mengeluarkan tunang saya dari Syria, apalagi ke Gaza. Tetapi kami berjaya mengharungi halangan itu. Apabila Yara tiba di Rafah, saya sangat gembira dan orang ramai kagum dengan kisah kami sehinggakan mereka meraikan kami di sepanjang perjalanan pulang ke rumah,” katanya.

Bagaimanapun, keluarga Yara tidak dapat datang ke Gaza untuk majlis pernikahan kerana sekatan Israel dan Mesir mengenai kebebasan pergerakan di Wilayah Palestin yang diduduki.

Menurut Fadi, Yara membawa gaun pengantinnya yang bernilai $2,000 sepanjang perjalanan dari Syria.

Image result for a palestinian-syrian love

Berikutan ketibaan Yara, pasangan yang teruja itu menghabiskan beberapa hari membeli-belah untuk perkahwinan mereka yang dijangka akan diadakan pada 18 November dan bertepatan dengan ulang tahun kelahiran ke-22 Fadi.

“Semua yang kami perlukan sudah siap, rumah kami, perabot, gaun pengantin … Kami hanya menunggu hari jadi saya untuk menjadi pasangan yang paling beruntung di dunia kerana dipertemukan,” kata Fadi.

Yara tinggal di rumah keluarga Fadi, sementara pengantin lelaki menunggu di rumah yang baru dibelinya ketika kedua-dua bakal pengantin itu berdebar menunggu hari pernikahan mereka pada keesokan harinya.

Walau bagaimanapun, keluarga Fadi menerima panggilan sekitar tengah malam bahawa bangunan bersebelahan kediaman mereka dilaporkan akan menjadi sasaran oleh serangan udara Israel.

Keluarga Fadi dan Yara berlari mencari perlindungan di rumah ibu saudaranya, ketika bangunan lima tingkat iaitu bangunan al-Rahma, di sebelah rumah Fadi, dihancurkan oleh peluru berpandu yang dijatuhkan dari langit.

Apabila keluarganya kembali ke kawasan itu keesokan harinya, mereka mendapati rumah mereka runtuh.

“Tunang saya dan saya terkejut. Impian kami untuk membina mahligai dihancurkan oleh serangan Israel yang mengebom rumah kami dan menyebabkan kemusnahan besar.

“Semua tingkap telah rosak, perabot kami dan beberapa tembok luar menjadi runtuhan, dan gaun pengantin Yara juga telah rosak. Yara menghabiskan sepanjang malam menangis dan mengalami serangan panik apabila dia melihat kemusnahan yang berlaku,” kata Fadi.

Image result for a palestinian-syrian love

Apabila penduduk tempatan mendengar cerita Yara dan melihat apa yang berlaku di rumah dan pakaiannya, seluruh masyarakat berganding bahu.

Seorang perancang perkahwinan, pemilik hotel, pemilik kedai bunga, jurugambar, tukang jahit dan lain-lain menawarkan perkhidmatan mereka secara percuma. Sekumpulan dermawan memberi mereka hadiah untuk memastikan perkahwinan mereka akan berlaku tepat pada waktunya.

Walau bagaimanapun, dengan masa depan Gaza yang masih tidak menentu dan keganasan yang tidak berpenghujung, pasangan itu berkata mereka takut untuk meneruskan majlis perkahwinan mereka hanya untuk bangun dan menemui semuanya di bawah runtuhan dan kemusnahan sekali lagi.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker