Sukan

Harimau Malaya Mahu Peluang Kedua

Penyerang Norshahrul Idlan Talaha berharap Malaysia akan dapat mara ke pusingan akhir Piala AFF, dan bertemu kembali dengan pasukan yang menewaskan mereka – Vietnam.

Pemain veteran itu sukar untuk menerima cara mereka tewas 2-0 kepada Vietnam di Stadium Nasional My Dinh di Hanoi pada hari Jumaat yang lepas.

Norshahrul dan rakan sepasukannya mendominasi perlawanan dengan corak kawalan bola tetapi pasukan Vietnam yang terlebih dahulu mendapat mata menerusi serangan balas.

Ia adalah kekalahan pertama Malaysia di dalam perlawanan Kumpulan A selepas dua kemenangan mereka, menentang Kemboja (1-0) dan Laos (3-1).

Harimau Malaya masih lagi boleh menjejakkan kaki ke pusingan separuh akhir jika mereka dapat menewaskan Myanmar di dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan, yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada hari Sabtu.

Pada hari Jumaat, Norshahrul dikawal ketat oleh pasukan Vietnam, selepas mereka mengakui bahawa dia adalah pemain Malaysia yang paling berbahaya, setelah menjaringkan gol ketika menentang Laos dan Kemboja.

Pemain berusia 32 tahun yang kini bermain untuk pasukan Pahang berkata: “Selepas melihat kembali perlawanan itu, kita bermain dengan sangat baik. Kesemua pemain kita memberikan 100% komitmen.

“Cuma corak permainan lawan kita membolehkan mereka untuk mencipta dua peluang, dan mereka tidak mensia-siakan peluang itu.

“Saya berharap kita dapat bertemu mereka semula, kerana saya tidak berpuas hati dengan perlawanan itu.

“Kami mahu dapatkan tiga mata penuh apabila turun menentang Myanmar. Insyaallah. Jika kita dapat mara ke pusingan akhir dan bertemu Vietnam semula, kita pasti akan bermain dengan lebih baik.”

Norshahrul, yang membantu Malaysia muncul juara Piala AFF pada tahun 2010, yakin bahawa mereka akan dapat menewaskan Myanmar di dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan mereka.

“Saya optimistik bahawa kami dapat menewaskan Myanmar. Melihat kepada prestasi kita sekarang, saya yakin bahawa kita boleh menang.”

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker