AntarabangsaIsu Semasa

Lelaki Belanda Berumur 69 Tahun Mahu “Dimudakan” Semula

Seorang lelaki Belanda berusia 69 tahun yang mendakwa bahawa dia kelihatan muda dan berasa muda kini mahu umurnya diturunkan secara sah oleh mahkamah kepada 20 tahun lebih muda.

Emile Ratelbrand, seorang usahawan dan guru motivasi, berharap agar dengan berbuat demikian akan memberikan prospek pekerjaan yang lebih baik untuknya dan menjadikannya lebih berjaya dalam percintaan, terutamanya apabila dia melayari aplikasi cari jodoh, Tinder.

Ratelbrand telah memfailkan tuntutan undang-undang terhadap kerajaan Belanda untuk menukar tarikh kelahirannya dari 11 Mac 1949, kepada 11 Mac 1969.

Melakukan perkara itu akan menukar umurnya kepada usia 49 tahun, yang mana dia berpendapat akan membolehkan dia “hidup secara berbeza”.

“Dalam zaman di mana anda boleh menukar nama dan menukar jantina, kenapa tidak menukar umur anda? Diskriminasi juga berlaku kepada orang berumur,” katanya kepada mahkamah.

Image result for dutch man 69 files lawsuit to lower age

Ratelbrand juga berhujah di mahkamah bahawa kerana usianya, syarikat-syarikat tidak menerimanya untuk bekerja dan dia juga mempunyai masalah mencari jodoh di Tinder.

“Apabila saya berusia 69 tahun, aktiviti saya terhad. Jika saya berusia 49 tahun, saya boleh membeli sebuah rumah baru, memandu kereta yang berbeza, saya boleh menerima lebih banyak kerja,” katanya.

“Apabila saya berada di Tinder dan mengatakan saya berusia 69 tahun, saya tidak mendapat jawapan. Apabila saya berusia 49 tahun, dengan wajah saya, saya akan berada dalam kedudukan mewah.”

Tambahan pula, beliau berhujah bahawa doktor telah menilai bahawa dia mempunyai badan seorang yang berusia 45 tahun. Dia menambah bahawa doktor telah menggambarkannya sebagai “orang muda”.

Menurut akhbar British The Daily Express, hakim di Arnhem, di wilayah timur Gelderland, bersimpati dengan kenyataan Ratelbrand dan bahkan mengakui bahawa penukaran jantina seseorang secara sah adalah sesuatu yang tidak pernah berlaku pada zaman sebelum ini.

Walau bagaimanapun, hakim berpendapat bahawa akan ada masalah dari segi undang-undang jika orang dibenarkan menukar tarikh lahir mereka. Ini pada asasnya akan memotong 20 tahun pertama kehidupan Ratelbrand, tambah hakim.

Mahkamah dilaporkan akan menyerahkan keputusannya untuk kes umur Ratelband dalam masa empat minggu.

BBC melaporkan bahawa Ratelbrand adalah personaliti media yang menyuarakan watak Vladimir Trunkov untuk filem Pixar Cars 2 dalam versi bahasa Belanda.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button