AntarabangsaIsu SemasaTeknologi

Jepun: Menteri Keselamatan Siber tak tau gunakan komputer

Seorang menteri Jepun yang dipertanggungjawabkan dalam hal ehwal keselamatan siber mencetuskan kejutan apabila membuat pengakuan tidak pernah menggunakan komputer sepanjang kerjaya profesionalnya dan jelas keliru dengan konsep pemacu USB.

Yoshitaka Sakurada, 68, adalah timbalan ketua pejabat strategi keselamatan siber kerajaan dan juga menteri bertanggungjawab untuk Sukan Olimpik dan Paralimpik yang bakal dianjurkan Tokyo menjelang 2020.

Bagaimanapun di Parlimen semalam, beliau mengakui tidak pernah menggunakan komputer.

“Sejak usia 25 tahun, saya mengarahkan kakitangan dan setiausaha, justeru saya tidak menggunakan komputer sendiri,” katanya sebagai maklum balas terhadap soalan pembangkang dalam sesi dewan rendah, lapor media tempatan.

Beliau juga keliru dengan soalan apabila ditanya jika pemacu USB digunakan dalam kemudahan nuklear Jepun. Ulasannya disambut dengan perasaan tidak percaya pembuat dasar pembangkang.

“Agak mengejutkan, seseorang yang tidak menyentuh komputer dipertanggungjawabkan untuk dasar keselamatan siber,” kata pembuat dasar pembangkang, Masato Imai. Ulasannya mencetuskan kecaman dalam talian.

“Tidakkah beliau merasa malu? Pada hari ini mana-mana presiden syarikat menggunakan PC. Beliau malah tidak tahu apa itu USB. Amat mengejutkan.” tulis seorang pengguna Twitter.

Seorang lagi berlawak, kemungkinan Sakurada terbabit dalam keselamatan siber sendiri.

“Jika seorang penggodam menyasar Sakurada, mereka tidak berjaya mencuri sebarang maklumat. Sememangnya ia adalah tahap keselamatan paling jitu!”

Sakurada dilantik ke jawatannya lebih sebulan lalu, selepas dipilih dalam satu rombakan kabinet susulan pemilihan semula Perdana Menteri Shinzo Abe sebagai ketua parti politiknya.

Namun beliau sudah dikecam untuk beberapa kesilapan bodoh lain dalam Parlimen termasuk keliru dengan nama pembuat dasar dan berulang kali menyatakan ‘Saya tidak tahu butiran’ apabila disoal mengenai taklimat ringkas baharu Olimpik. -AFP

– Berita Harian

– photo/facebook

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker