Hiburan

Joe Flizzow rancang kolaborasi dengan penyanyi Perancis, Sepanyol

Rapper Joe Flizzow menyifatkan kemenangan trofi Artis Terbaik Asia Tenggara pada Anugerah Muzik Eropah MTV 2018 (MTV EMA 2018) baru-baru ini sebagai peluang untuk meneroka pasaran muzik Eropah secara lebih meluas.

Kata Joe atau nama sebenarnya, Johan Ishak, 39, dengan kemenangan tersebut, dia merancang untuk menjalin penyanyi di benua berkenaaan.

“Ketika berada di majlis itu, ia membuka peluang buat saya untuk berkenalan penggiat-penggiat muzik di sana.

“Saya sudah meluahkan hasrat untuk berkolaborasi dengan penyanyi di Perancis dan Sepanyol. Kalau tiada aral melintang dengan keizinan Sony Music, Insya-Allah kerjasama yang dirancang akan berlaku pada masa akan datang,” jelas pelantun lagu Havoc itu ketika ditemui Kosmo! Online di Ana Patin House di sini.

Ditanya akan wujud kemungkinan kerjasama dengan penyanyi yang ditemuinya di anugerah tersebut seperti Terry Crews atau Dua Lipa, Joe menafikan perkara tersebut.

“Tiada perancangan dengan mereka sama ada Crews mahupun Dua Lipa. Namun mereka lebih berminat untuk mengetahui tentang Bahasa Melayu. Mereka terkejut saya berasal dari Malaysia.

“Saya memang tidak menyangka akan menang. Ini membuktikan muzik hip hop di Malaysia semakin berkembang dan kian diterima ramai. Semoga kemenangan ini memberi inspirasi buat penyanyi rap di negara ini,” kata Joe lagi.

Minggu lalu, Joe mencipta sejarah menjadi penyanyi pertama Malaysia memenangi trofi Artis Terbaik Asia Tenggara pada Anugerah Muzik Eropah MTV 2018 (MTV EMA 2018) yang berlangsung di Bilbao, Sepanyol.

Dalam kategori berkenaan, Joe menewaskan Afgan dari Indonesia, IV of Spades (Filipina), Min Hang (Vietnam), Slot Machine (Thailand), The Sam Willows (Singapura) dan Twopee Southside (Thailand).

Joe turut berkongsi beberapa siri video dan foto di majlis berkenaan bersama bintang popular Hollywood seperti Terry Crews, Lindsay Lohan dan Dua Lipa.

photo/KosmoOnline

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker