MalaysiaPolitik

Malaysia Baharu Tetapi Politik Lama

Kita mungkin berada dalam era Malaysia baharu tetapi amalan politik lama masih belum pudar. Sebilangan besar daripada kita menganggap politik perkauman dan agama adalah kunci utama dalam politik di Malaysia.

Ahli-ahli politik sentiasa memerhati perkara-perkara yang berlaku dalam negara dan mereka akan menangguk di air yang keruh untuk memastikan penyokong sentiasa yakin bahawa kepentingan mereka dilindungi.

Menurut statistik dari Merdeka Centre, kira-kira 95% pengundi Cina dan 70-75% kaum India memilih Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum 9 Mei. Bagaimanapun, hanya 25-30% orang Melayu mengundi PH manakala 35-40% mengundi Barisan Nasional dan 30-33% menyokong PAS.

Undi Melayu yang berpecah bermakna pemimpin-pemimpin PH harus bertindak lebih teliti apabila membangkitkan isu-isu yang dianggap sensitif kepada orang Melayu, jika mereka berharap untuk memperoleh kepercayaan mereka.

Dan Umno dan PAS akan berusaha lebih keras untuk memikat orang Melayu dengan menggunakan umpan kaum dan agama.

Menyedari kegusaran ramai orang Melayu, terutamanya mengenai pelantikan orang bukan Melayu dalam kedudukan utama kerajaan dan tanggapan bahawa DAP mempunyai kelebihan dalam kerajaan PH, Perdana Menteri dan pemimpin-pemimpin lain terpaksa mengadakan persidangan khas untuk bumiputera.

Mereka dapat membaca sentimen dengan baik, bahawa hanya 25-30% orang Melayu mengundi PH, tetapi cukup untuk menyingkirkan Barisan, dan jika pecahan kecil ini berpaling dari PH, pasti ada masalah di masa hadapan.

Barisan, khususnya Umno, juga memahami kepentingan angka ini dan dengan cepat mengumumkan kerjasama dengan PAS atas nama bangsa dan agama. Ini semata-mata untuk memancing sokongan orang Melayu yang konservatif.

Sementara itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula memainkan peranannya apabila menekankan mengenai kepentingan Bahasa Malaysia dan mengesahkan semula kedudukan bahasa kebangsaan di Dewan Bahasa dan Pustaka, badan kerajaan yang bertanggungjawab mengawal penggunaan bahasa Melayu dan kesusasteraan bahasa Melayu.

Presiden PKR itu baru-baru ini mendesak semua pemimpin dan ahli parlimen untuk menguasai Bahasa Malaysia dan mengkritik mereka yang tidak berusaha untuk menguasai bahasa kebangsaan.

Tetapi beliau juga mengatakan bahawa menekankan BM tidak “bermakna bahawa bahasa lain seperti bahasa Inggeris dan Cina dipinggirkan tetapi mesti dikuasai sebagai bahasa kedua.”

Ini adalah contoh seorang ahli politik di tempat kerja, memastikan bahawa pangkalan sokongannya tidak terjejas.

Selain itu, beliau memberi amaran tentang kewujudan kumpulan “super liberal” di negara ini yang mahu menuntut hak mereka dan menggesa pelaksanaannya.

Tanpa membuat rujukan khusus, beliau berkata orang dari kumpulan super liberal ini juga mengecam pandangan mereka yang menentangnya.

Sudah tentu, kata-kata Anwar akan menerima rekasi positif dalam kalangan orang Melayu konservatif, yang bukan sahaja pengundi pedalaman malah golongan profesional Melayu bandar yang tidak berpuas hati dengan apa yang mereka anggap sebagai perubahan radikal kepada status quo dalam Malaysia Baharu.

Dr Mahathir juga mendapati beliau perlu melakukan tindakan yang neutral. Pertama, beliau mengeluarkan satu kenyataan yang mengatakan Kabinet merasakan hukuman sebat pasangan lesbian di Terengganu memberikan kesan buruk terhadap Islam, dan ia “tidak mencerminkan kualiti keadilan dan simpati dalam Islam”.

Tetapi beliau juga dengan cepat memberikan jaminan, terutama kepada orang Melayu, bahawa Malaysia tidak menerima amalan LGBT (Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender) dan perkahwinan sejenis.

Ahli politik PH memahami bahawa mereka perlu mengekalkan sokongan 30% daripada kaum Melayu, dan mungkin perlu meningkatkannya, yang diharapkan dapat menarik pengundi baru yang berumur 18 tahun untuk PRU yang akan datang.

Malaysia Baharu telah menimbulkan harapan baru, jangkaan baru dan cara baru dalam melakukan sesuatu, tetapi pada akhirnya, beberapa perkara tidak akan berubah dalam masa yang singkat.

Oleh itu, ahli politik mesti belajar cara untuk mengendalikan semua ini dengan lebih bijak untuk membuka jalan supaya boleh melangkah ke hadapan dengan cara baharu. – The Star

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker