Isu SemasaTempatan

Majikan Dedah Punca Graduan Bumiputera Tidak Diterima Bekerja

Kemahiran komunikasi dan kemahiran bahasa yang lemah adalah antara sebab utama mengapa graduan Bumiputera sukar untuk mendapatkan pekerjaan selepas tamat belajar, kata majikan.

Menurut kupasan yang disiarkan oleh Malay Mail, kelemahan berbahasa meliputi semua bahasa tetapi yang paling ketara ialah bahasa Inggeris walaupun telah dipelajari sejak sekolah rendah.

“Sebagai contoh, kebanyakan pekerjaan yang ada di pasaran kini memerlukan anda untuk berhubung dengan pelanggan atau klien. Anda perlu meyakinkan mereka bahawa produk atau perkhidmatan syarikat anda adalah yang paling sesuai untuk mereka,” kata Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) Datuk Shamsuddin Bardan.

“Walau bagaimanapun ketidakupayaan graduan untuk berkomunikasi dengan baik dalam bahasa lain, sama ada Bahasa Inggeris atau mana-mana medium pilihan lain, akan menghalang peluang mereka berbuat demikian. Ciri-ciri ini menjadikan graduan Bumiputera sukar untuk mendapat pekerjaan,” katanya.

Dalam laporan lalu, Tinjauan Ekonomi Kementerian Kewangan 2019 menunjukkan bahawa Bumiputera dengan pendidikan tinggi merekodkan kadar pengangguran tertinggi pada tahun 2017 pada 4.6 peratus, jauh lebih tinggi daripada Bumiputera yang tidak menerima pendidikan tinggi.

Ketika ditanya sama ada ketidaksepadanan kemahiran adalah salah satu faktor penyumbang kepada graduan Bumiputera yang tidak diupah oleh majikan, Shamsuddin berkata ia sebenarnya lazim di kalangan semua graduan, tanpa mengira kaum.

Tetapi beliau menambah bahawa ketidakupayaan graduan dalam menyesuaikan diri dengan keperluan profesion mereka adalah isu yang lebih penting, kecuali mereka yang bekerja di bidang profesional termasuk akauntan dan peguam.

Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia Datuk Abdul Halim Omar juga bersetuju bahawa kemahiran komunikasi yang lemah di kalangan siswazah Bumiputera adalah sebab utama mengapa mereka tidak diterima bekerja.

“Ini benar terutama dalam bahasa Inggeris, yang merupakan medium yang diperlukan dalam kebanyakan syarikat. Ramai Bumiputera tidak menguasai bahasa ini dengan baik selain bahasa pilihan lain seperti Mandarin.

Bagaimanapun, Halim berkata terdapat syarikat yang lebih suka mengupah individu yang boleh bertutur dalam bahasa vernakular mereka, sekaligus menutup peluang kepada calon berpotensi lain.

Halim juga menyatakan kadar pengangguran yang tinggi di kalangan graduan berlaku kerana kurangnya pendedahan yang tepat terhadap keperluan pasaran kerja.

“Kebanyakan graduan Bumiputera cemerlang dalam kelayakan akademik tetapi kurang mempunyai pengetahuan tentang apa yang diperlukan di lapangan kerja.

“Itulah sebabnya apabila mereka memasuki pasaran kerja, mereka sukar untuk menyesuaikan diri dengan keperluan sebenar pekerjaan mereka,” katanya.

Halim juga menjelaskan bahawa graduan baru juga sering membuat tuntutan yang tidak realistik berhubung dengan gaji permulaan mereka dan tidak boleh berkompromi pada waktu kerja, sekaligus tidak menjadikan mereka pilihan majikan.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker