Isu SemasaSains

Kenapa Negara Maju Mahu Membina Loji Tenaga Nuklear Tetapi Malaysia Memilih Untuk Tidak?

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengumumkan bahawa Malaysia tidak akan menggunakan tenaga nuklear untuk menghasilkan tenaga kerana belum ada bukti secara saintifik cara terbaik untuk menangani sisa nuklear dan kesan radiasi yang dikeluarkan.

Tun Mahathir turut mengutarakan beberapa insiden melibatkan kebocoran nuklear di seluruh dunia yang menyebabkan banyak manusia melarat akibat kesan radiasi.

Oleh demikian, Malaysia akan terus menggunakan tenaga sedia ada untuk menjana elektrik dan tidak akan mengambil risiko dengan tenaga nuklear.

Pengalaman Buruk Malaysia Dengan Amang

Sebahagian penduduk memegang sepanduk dan poster bantahan terhadap pencemaran amang di Jalan Pelabuhan-Gebeng. Sumber Gambar: SinarHarian

Malaysia pernah mengalami pengalaman buruk apabila kita menggunakan amang, sejenis bijih yang beradiasi yang digunakan sebagai salah satu komponen di dalam televisyen berwarna.

Penggunaan bijih tersebut telah menyebabkan masalah sisa radiasi yang menjadi ketakutan komuniti.

Untuk mengatasi masalah ini, bijih tersebut ditanam dalam sebuah kawasan berkeluasan 1 kilometer persegi di bawah simen tebal.

Sehingga kini kawasan tersebut dikatakan masih tidak selamat dan tidak boleh dibangunkan.

Mengapa Tenaga Nuklear Masih Dibangunkan Di Negara Luar?

Tenaga nuklear mempunyai kelebihan dari segi kos pengeluaran yang rendah. Ia tidak menghasilkan pencemaran udara seperti nitrogen oksida dan sulfur dioksida di mana kedua-dua ini merupakan penyebab hujan asid.

Tenaga nuklear juga tidak menyebabkan gas rumah hijau seperti gas karbon dioksida dan gas metana yang menyumbang kepada pemanasan global.

Tambahan lagi, tenaga nuklear tidak menghasilkan ozon dan zarah yang menyumbang kepada pencemaran udara.

Loji nuklear terbesar di dunia, The Kashiwasaki-Kariwa nuclear power plant Sumber Gambar: oilprice.com

Bahan utama yang digunakan dalam reaktor tenaga nuklear ialah uranium di mana ianya banyak terdapat di dalam kerak bumi dan dijangka tidak akan punah dalam masa terdekat. Terdapat sekitar 5.5 juta ton uranium yang boleh dilombong dengan harga RM520 perkilogram.

Berdasarkan kadar penggunaan tenaga dunia, rezab yang ada boleh menampung sehingga 80 tahun yang akan datang.

Tenaga yang dihasilkan oleh nuklear juga sangat ideal untuk grid tenaga kebangsaan.

Sisa Nuklear Penyebab Kanser?

Tidak dinafikan perkara yang baik selalunya akan datang dengan keburukan. Ia seperti sebuah pakej lumrah kehidupan.

Sisa nuklear ini biasanya akan mengandungi serpihan dan ianya perlu disimpan sebelum ia boleh dilupuskan pada kadar yang selamat.

“Kadar yang selamat” ini juga menjadi perdebatan kerana pada biasanya apabila kita terdedah dengan satu tan sisa nuklear sejauh tiga meter selamat 10 saat, ia akan membawa maut akibat radiasi yang dikeluarkan.

Nuklear juga menghasilkan plutonium yang mana pendedahan terhadapnya menyebabkan peningkatan risiko kanser hati, tulang dan paru-paru.

Akibat daripada kesan teruk ini ke atas manusia, ia merupakan sasaran pada teroris untuk mendapatkan senjata nuklear yang boleh menyebabkan bencana buruk.

Di sebabkan perkara ini juga, kos untuk membina sebuah loji nuklear yang selamat adalah sangat tinggi. Keselamatan ini sangat penting kerana dunia telah menyaksikan tiga kejadian besar yang menyebabkan ramai orang terbunuh.

  1. Three Mile Island (USA,1979)
    Loji nuklear di Amerika Syarikat
  2. Chernobyl (Soviet- Ukraine, 1986)
    Kesan radiasi Chernobyl
  3. Fukushima (Japan, 2011)
    Loji nuklear bocor akibat gempa bumi dan tsunami

Tiga kawasan ini berada di negara maju yang boleh dikatakan sangat berhati-hati dalam setiap langkah yang mereka lakukan tetapi bencana tetap terjadi.

Masa Hadapan Tenaga Nuklear

Buat masa ini, sains masih belum boleh memberikan jawapan positif tentang keselamatan pengurusan teknologi nuklear oleh itu sememangnya lebih baik Malaysia tidak mengambil risiko untuk mewujudkan loji nuklear di sini.

Walau bagaimanapun, menurut Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Zakri Abdul Hamid, ia adalah tidak mustahil untuk mewujudkan tenaga baharu yang lebih selamat, kurang pelepasan karbon untuk menjana kuasa.

Contohnya di selatan Perancis, sebuah kajian multinasional yang bergabung dengan kejuruteraan nuklear telah mewujudkan projek mega iaitu Eksperimental Thermonuklear Reaktor Antarabangsa (ITER). Ia adalah hasil gabungan kuasa nuklear yang selamat, tiada pelepasan karbon dengan kuasa tanpa had.

The International Thermonuclear Experimental Reactor (ITER) yang sedang dibina di Cadarache, Perancis

Pereka loji tersebut berharap mereka dapat menghasilkan output kuasa thermal sebanyak 500 megawatt selama 20 minit menggunakan tenaga input 50 megawatt.

Loji ini masih di dalam pembikinan dan dunia masih memerhatikan kemajuannya.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker