Isu SemasaTempatan

Keselamatan Dua Lapangan Terbang Kini Di Bawah Jagaan FRU?

Setiap kali kalau berlaku perhimpunan haram mahupun rusuhan di Malaysia, pasti kita akan nampak kehadiran Pasukan Simpanan Persekutuan atau lebih popular dengan nama singkatnya FRU.

FRU merupakan sebuah pasukan khas yang boleh dikerah pada bila-bila masa sahaja untuk mengawal keselamatan ketika berlakunya masalah ketenteraman awam di dalam negara.

Pasukan ini dikatakan telah ditubuhkan sejak 5 Disember 1955 lagi, di mana Tanah Melayu masih belum mencapai kemerdekaan pada waktu itu.

Tetapi, jangan takut atau terkejut sekiranya anda melihat kehadiran anggota-anggota FRU di dua buah lapangan terbang di negeri-negeri utara.

Memetik laporan The Star, kira-kira 40 anggota pasukan itu dari Unit 3 kini ditugaskan untuk mengawal keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, Kedah. 

Keselamatan di kedua-dua lapangan terbang tersebut sebelum ini berada di bawah jagaan Pasukan Gerakan Am (PGA).

Menurut ketua polis daerah Balik Pulau, OCPD Supt A. Anbalagan, Unit 3, yang meliputi kawasan wilayah utara, telah mula dikerahkan di sana sejak bulan lepas lagi.

“Anggota-anggota FRU ditugaskan untuk memastikan keselamatan di lapangan-lapangan terbang itu, sama seperti yang dilakukan oleh PGA sebelum ini.

“Jangan panik kerana mereka adalah mesra dan profesional. Pengambil alihan tugas dilakukan pada bulan lepas dan PGA kini mengambil alih tugasan di tempat lain,” katanya.

Difahamkan, perubahan ini merupakan sebahagian daripada langkah untuk mengurangkan kos pengerahan pasukan keselamatan, memandangkan kebanyakan anggota PGA sebelum ini datang dari negeri-negeri lain.

Menerusi langkah ini, kos akan berkurangan kerana Unit 3 FRU berpangkalan di Pulau Pinang dan tugas mereka meliputi kawasan-kawasan di negeri-negeri utara.

Walau bagaimanapun, pegawai-pegawai PGA akan terus kekal menjalankan tugas menjaga keselamatan di lapangan-lapangan terbang lain seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Sumber: The Star, Friend of PDRM

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker