Isu SemasaMalaysiaPolitikTempatan

Daim: Henti salahkan kerajaan lama

Kerajaan perlu menumpukan kepada usaha menunaikan janji kepada rakyat yang mengundi mereka semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan melupakan apa yang berlaku pada masa lalu, kata Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (MPK), Tun Daim Zainuddin.

Beliau berkata, apa yang berlaku sebelum ini adalah sejarah, dan kerajaan baharu perlu berhenti menuding jari dan menyalahkan kerajaan terdahulu yang mentadbir negara ini selama 61 tahun.

“Sekarang sudah enam bulan. Kerajaan perlu memberi tumpuan dalam pelaksanaan. Rakyat tahu apa yang terjadi, sebab itu mereka undi untuk menyingkirkan kerajaan sebelum ini.

“Justeru, adalah amat penting untuk kerajaan sekarang tidak mengulangi (kesilapan) pemimpin lama,” katanya pada Siri Persidangan Affin Hwang Capital 2018, di sini, hari ini.

Daim berkata, kerajaan juga harus berusaha mengembalikan keyakinan dalam kalangan pelabur untuk menarik mereka semula kembali melabur di negara.

Dalam pada itu, beliau turut meminta supaya rakyat memberi sedikit masa untuk kerajaan baharu yang dipimpin Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, untuk membentuk semula ekonomi negara.

“Ramai yang tidak sabar, mereka undi untuk perubahan dan ingin melihat hasilnya serta-merta. Memang pelbagai janji dibuat, tetapi apabila Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran, kerajaan mendapati perbendaharaan sudah tiada.

“Bagaimana kami ingin tunaikan janji? Jadi ini akan memakan masa,” katanya.

Bekas Menteri Kewangan, ahli perniagaan dan ahli politik yang bersara 20 tahun lalu itu berkata, beliau gembira kerana telah melalui fasa persaraan ketika ini.

“Saya tidak mahu kekal dalam jawatan itu, sebab itulah saya bersara,” katanya.

 

– Berita Harian

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker