Sukan

TMJ Arah Orang Disebalik Trofi Kasut Emas Bersaiz “Newborn” Letak Jawatan

Disebalik kemeriahan Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK2018) yang didominasi pasukan  Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan meraih sembilan kategori utama pada malam tersebut, sebuah kontroversi muncul apabila trofi untuk anugerah Kasut Emas hanya bersaiz sebesar tapak tangan.

Sebelum ini, selain trofi utama yang diberikan kepada pemenang yang dimenangi oleh pemain muda kelahiran Dungun Terenganu, Safawi Rasid yang menyapu bersih tiga anugerah utama apabila muncul sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP), Pemain Tengah Terbaik dan Pemain Muda Harapan, anugerah tofi Kasut Emas adalah antara yang menjadi tumpuan dengan pemenang itu sendiri akan berasa bangga menjulangnya. Tetapi, situasi sebaliknya berlaku tahun ini!

Kontroversi saiz trofi Kasut Emas itu terus menjadi bualan peminat bola sepak tempatan yang dianggap sebagai ‘mempermainkan’ kewibawaan pemain-pemain bola sepak tempatan, lapor MStar.

Trofi tersebut dimenangi oleh pemain Kelantan Shafiq Shahrudin menerima anugerah tersebut bagi kategori penjaring terbanyak Liga Super (Pemain Tempatan), manakala Rufino Segovia (Selangor) untuk Pemain Import.

Pengerusi Liga Bolasepak Malaysia (MFL) Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengarahkan sesiapa yang bertanggungjawab dalam menyediakan trofi itu meletak jawatan serta-merta.

“Saya telah dimaklumkan mengenai isu kualiti trofi pada ABK2018. Bagi saya, kualiti memang tidak boleh diterima dan saya jangka sesiapa sahaja yang terlibat perlu  bertanggungjawab meletak jawatan serta merta.

“Hanya 13 jam berada di luar negara dan huru-hara berlaku. MFL, selesaikan masalah ini dan beri anugerah (trofi) yang lebih berkualiti,” ujar Tunku Ismail menerusi perkongsian di laman Twitter miliknya.

Dalam satu lagi perkongsian, Tunku Ismail memberitahu: “Ini bukan Kasut Emas. Ini kasut Cinderella miniature version.. Haha.. Sorry, I can’t get over it. MFL, lucky you guys acted on it. If not I was about to give you the people’s elbow… Step Up!.”

MFL menerusi kenyataan di Facebook rasminya turut meluahkan rasa kecewa dengan trofi yang dipersembahkan itu.

“MFL sangat kecewa dengan trofi yang telah dipersembahkan pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2018 yang lepas.

“Trofi berkenaan tidak memenuhi standard seperti apa yang diharapkan oleh Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Tunku Pengerusi MFL dan ianya juga tidak layak diberikan kepada pemenang yang telah memberikan yang terbaik sepanjang musim ini,” jelas kenyataan tersebut.

Tambahnya lagi, MFL telah mengenal pasti kakitangan yang telah membuat kesilapan dalam pesanan untuk membuat trofi tersebut dan beliau cuba untuk menutup perkara tersebut tanpa sebarang maklumat yang diberitahu kepada pihak pengurusan MFL.

“Seperti dilihat dari gambar-gambar yang dilampirkan, MFL sentiasa memberikan trofi yang sesuai dan mengikut standard yang perlu.

“MFL juga telah mengambil inisiatif untuk menghubungi semua pemenang bahawa MFL akan menggantikan trofi ini dengan yang lebih sesuai dengan pencapaian mereka.

“MFL sentiasa berusaha untuk menjadikan ABK ini lebih besar dan megah setiap tahun. Kejayaan ini telah dicapai sehingga kejadian yang sangat menghampakan ini berlaku.

“Jadi sudah pasti pihak MFL tidak berniat untuk memberikan sebuah trofi yang tidak sesuai kepada semua pemenang, dan tindakan sudah diambil ke atas mereka yang terlibat dalam kejadian yang menghampakan ini.”

MFL juga memohon maaf kepada semua pemenang dan juga komuniti bola sepak Malaysia diatas insiden yang tidak mencerminkan matlamat, visi dan piawaian MFL.

“Pengerusi kami yang sangat menekankan standard dan kualiti dalam semua aspek. MFL akan lebih baik pada masa hadapan.”

Selain daripada trofi Kasut Emas, terdapat kategori lain yang diberikan trofi untuk pencapaian masing-masing. Berikut adalah pemenangnya:

PEMAIN PALING BERNILAI: Safawi Rasid (Johor Daruk Ta’zim)

PENJAGA GOL TERBAIK • Farizal Marlias (Johor Darul Ta’zim)

PERTAHANAN TERBAIK • Shahrul Saad (Perak)

PEMAIN TENGAH TERBAIK Safawi Rasid (Johor Darul Ta’zim)

PENYERANG TERBAIK • Akhyar Abdul Rashid (Kedah)

JURULATIH TERBAIK • Mehmed Durakovic (Perak)

PEMAIN IMPORT TERBAIK • Rufino Segovia (Selangor)

PEMAIN ASEAN TERBAIK • Hariss Harun (Johor Darul Ta’zim)

PEMAIN MUDA HARAPAN • Safawi Rasid (Johor Darul Ta’zim)

PENYOKONG TERBAIK • Johor Darul Ta’zim

MEDIA SOSIAL TERBAIK • Johor Darul Ta’zim

LAMAN WEB TERBAIK • Johor Darul Ta’zim

FAIR PLAY Melaka

ANUGERAH PERSAHABATAN Hafizh Syahrin (MotoGP)

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker