Isu SemasaTempatan

Remaja Terengganu Raih Pendapatan Lumayan Bermain PES

Pada zaman dahulu, permainan video sering kali dianggap sebagai sebuah permainan yang tidak berfaedah atau melalaikan.

Walau bagaimanapun, permainan video pada masa kini sudah berubah menjadi satu bidang profesional yang dikenali sebagai e-sukan, dan ia dipertandingkan di peringkat antarabangsa, selain daripada mendatangkan pendapatan yang lumayan.

Sebagai contoh, seorang remaja di Terengganu bernama Muhammad Rafiq Firdaus Junus @ Ramli telah menjana wang lumayan menerusi minatnya yang mendalam di dalam E-Sukan.

Lebih mesra dikenali sebagai Rafiq, remaja berusia 18 tahun ini adalah seorang pemain tegar siri permainan video bola sepak yang dibangunkan Konami, iaitu Pro Evolution Soccer (PES).

Difahamkan, Rafiq mula melibatkan diri dalam pertandingan PES pada tahun 2016.

“Pada mulanya, saya hanyaa bermain PES bersama rakan dan sepupu sehingga salah seorang daripada mereka menyedari bakat saya dan membawa saya ke pertandingan.

“Dari situ, saya mula menyertai pelbagai pertandingan PES di seluruh negara,” kata beliau.

Rafiq telah memenangi wang tunai kira-kira RM20,000 sejak beliau mula membabitkan diri dalam pertandingan profesional.

Remaja yang berasal dari Kampung Tasik, Setiu itu telah bertanding di dalam lebih daripada 50 pertandingan PES dan beliau selalunya meraih kedudukan dalam kalangan empat pemain terbaik.

Namun dalam acara terbaru yang disertainya, Selangor Cyber Games 2018, Rafiq merangkul gelaran juara dalam pertandingan PES.

Walaupun telah mula PES sepanjang zaman persekolahannya, beliau tidak pernah mengabaikan pelajarannya, dan bijak membahagikan waktu bermain dan belajar.

“Setiap minggu, saya akan menaiki bas untuk menyertai pertandingan-pertandingan PES yang diadakan di luar Terengganu. Saya pernah pergi ke Kelantan, Kuala Lumpur, dan beberapa tempat di Semenanjung.

“Tetapi saya perlu berhati-hati dalam menguruskan masa saya agar pelajaran tidak terjejas. Dan memandangkan pengajian saya sudah tamat, saya mahu memberi fokus penuh terhadap e-sukan,” ujar beliau.

Rafiq juga merupakan salah seorang anggota Anak Tasik Group Games (ATG Games), dan beliau berhasrat untuk mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa pada suatu hari nanti.

Sementara itu, Naib Presiden Naib 1 E-sports Malaysia Terengganu (ESMT), Syed Afif Hakimi Tengku Abdullah berkata, PES tidak begitu popular di Terengganu sebelum ini, namun ia mula mendapat perhatian sejak tahun 2016 dan berjaya mencungkil bakat-bakat baru, termasuk Rafiq.

“Kalau kita lihat sebelum ini atlet sukan elektronik ini banyak didominasi oleh atlet negeri lain seperti Kuala Lumpur, Melaka, dan Johor, manakala di Terengganu kita tidak pernah mempunyai atlet sendiri.

“Namun setelah sukan ini berkembang di Terengganu kita berjaya menemukan 10 orang anak jati Terengganu yang berbakat daripada 200 pemain PES di negeri ini termasuk Rafiq,” katanya.” katanya.

Sumber: Bernama, The Star, Front Desk

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker