AntarabangsaIsu Semasa

Naik Bas Secara Percuma Dengan Botol Plastik

Penduduk di Surabaya, bandar raya kedua terbesar Indonesia berpeluang menggunakan perkhidmatan bas percuma sebagai pertukaran dengan botol plastik terpakai.

Menurut skim yang dilancarkan di Surabaya pada April lalu, penumpang boleh menaiki bas bandar raya itu yang berwarna merah dengan meletakkan botol plastik di terminal atau membayar tambang secara langsung dengan botol berkenaan.

Tiket untuk perjalanan dua jam memerlukan 10 cawan plastik atau sehingga lima botol plastik, bergantung kepada saiz, dengan harapan dapat memenuhi sasaran menjadi bandar raya bebas sisa plastik menjelang 2020.

Surabaya adalah bandar raya pertama di Indonesia melaksanakan skim itu.

“Sampah seperti botol plastik, menimbun di kawasan penempatan saya, jadi saya bawa ia ke sini supaya alam sekitar bukan sahaja bersih tetapi membantu mengurangkan beban kerja pengutip sampah,” kata seorang penduduk Linda Rahmawati.

Data menunjukkan 15 peratus atau hampir 400 tan sisa buangan setiap hari di Surabaya adalah plastik.

Bas boleh mengutip sehingga 250 kilogram botol plastik sehari, atau sekurang-kurang 7.5 tan sebulan.

Selepas kutipan, label dan tudung botol dibuang dan dilelong kepada syarikat kitar semula.

Wang yang diperoleh daripada lelongan digunakan untuk operasi bas dan membiayai ruang hijau di bandar raya itu, yang terletak di timur Jawa.

“Indonesia adalah salah satu penyumbang terbesar di dunia untuk sisa plastik, dan melalui inisiatif ini, kami berharap dapat meningkatkan kesadaran masyarakat terhadap lingkungan, terutama isu-isu yang berkaitan dengan sampah plastik,” kata Irvan Wahyu Drajad, ketua jabatan pengangkutan Surabaya .

Indonesia yang merupakan sebuah negara kepulauan dengan beribu-ribu pulau, dianggarkan sebagai penyumbang kedua terbesar di dunia untuk sisa plastik di lautan selepas China, menurut kajian 2015 yang diterbitkan dalam jurnal “Sains”.

Seorang lagi penduduk Surabaya juga menyambut baik skim tersebut.

“Kita boleh mengurangkan sampah supaya tidak menimbun di rumah kerana kita boleh membawa mereka masuk dan menggunakannya dengan baik. Ini adalah keadaan yang menguntungkan kedua-dua belah pihak,” kata suri rumah yang dikenali sebagai Sulastri. – Reuters

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker