Amerika SyarikatIsu SemasaPolitik

Dua Wanita Islam Lakar Sejarah Menjadi Ahli Kongres AS

Ilhan Omar, 37, seorang pelarian dari Somalia dan Rashida Tlaib, 42, iaitu anak perempuan kepada pendatang Palestin, telah melakar sejarah baru apabila menjadi dua orang wanita Islam yang pertama dilantik sebagai ahli Kongres di Amerika Syarikat (AS).

Kedua-dua wanita berkenaan bertanding di atas tiket Demokrat pada Pilihan Raya Pertengahan Penggal baru-baru ini.

Ilhan memenangi kerusi di Minnesota dengan menewaskan calon Republikan, sementara Rashida pula meraih kemenangan di Michigan tanpa bertanding.

ILHAN OMAR

“Saya beragama Islam dan berkulit hitam. Saya memutuskan untuk bertanding kerana saya adalah salah seorang daripada semua orang yang saya kenali yang benar-benar mahu menunjukkan apa itu demokrasi perwakilan yang sebenar,” kata Ilhan.

Difahamkan, beliau telah melarikan diri bersama ibu bapanya dari perang saudara di Somalia ketika baru sahaja berusia 8 tahun, dan kemudian berada di kem pelarian di Kenya selama tempoh 4 tahun.

Pada tahun 1997, Ilhan serta keluarganya telah berpindah dan menetap di Minnesota, di mana negeri itu mempunyai populasi warga Somalia yang agak besar.

Dalam pada itu, beliau juga telah membentuk identiti politik yang progresif. Ilhan adalah seorang individu yang memperjuangkan pendidikan kolej percuma, perumahan untuk semua orang, dan pembaharuan sistem pengadilan jenayah.

Pemimpin wanita itu juga membantah dasar imigresen yang diperkenalkan oleh Trump, menyokong sistem penjagaan kesihatan universal, serta berhasrat untuk memansuhkan US Immigration and Customs Enforcement (ICE), yang melaksanakan serbuan deportasi.

RASIHDA TLAIB

Rashida Tlaib pula adalah seorang wanita kelahiran Detroit dan ibu bapanya adalah pelarian Palestin.

Anak sulung daripada 14 adik-beradik itu berkata, beliau tidak bertanding semata-mata untuk melakar sejarah sebagai ‘Muslim’.

“Saya bertanding kerana berlaku banyak ketidakadilan dan kerana anak-anak lelaki saya, yang mempersoalkan identiti (Muslim) mereka dan sama ada mereka berhak berada di sini (AS),” katanya.

Difahamkan, kerusi yang beliau menang tidak mempunyai pengundi beragama Islam yang ramai.

Justeru itu, Rashida menyatakan bahawa ramai penduduk di kawasannya tertarik dengan politik progresif yang dibawa oleh beliau, tidak seperti yang diamalkan oleh anggota-anggota Republikan.

Sistem kesihatan universal, gaji minimum AS$15 sejam (RM62.50), perlindungan kesatuan, dan pendidikan percuma di peringkat kolej merupakan antara perkara yang akan beliau perjuangkan.

Ketika menyampaikan ucapan kemenangannya, Rashida berkata bahawa saudara-maranya di Tebing Barat turut menyaksikan kejayaannya.

“Ini menunjukkan betapa hebatnya negara kita,” ujar beliau.

 

Sumber: AFP

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker