AntarabangsaIsu Semasa

Tun M Mahu Universiti Jepun Buka Cawangan Di Malaysia

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menggalakkan universiti-universiti Jepun untuk membuka cawangan di Malaysia.

Difahamkan, Dr. Mahathir amat menyanjungi budaya kerja serta sistem nilai Jepun sejak lawatan pertama beliau ke negara “Matahari Terbit” itu pada tahun 1961.

Namun menurut pemimpin berusia 93 tahun itu, beliau memahami bahawa terdapat undang-undang dan peraturan tertentu yang melarang universiti-universiti ini daripada membuka cawangan mereka di luar negara.

“Ketika saya mula menjadi perdana menteri (pada ttahun 1981), saya dapat memperkenalkan Dasar Pandang Ke Timur, yang bukan sahaja tentang mendapatkan ilmu pengetahuan, tetapi juga perwatakan, gaya hidup, dan nilai-nilai Timur.

“Salah satu cara yang terbaik untuk mempelajari etika kerja Jepun adalah dengan menghantar pelajar-pelajar ke tempat kerja (Jepun). Mereka kemudian kembali (ke tanah air) dan menyumbang semula kepada ekonomi,” katanya.

Dalam pada itu, Dr. Mahathir menyatakan bahawa selepas bertahun-tahun, nilai Yen (matawang Jepun) juga turut meningkat.

Justeru, cara untuk membolehkan rakyat Malaysia mempelajari dengan lebih mendalam mengenai cara Jepun adalah dengan menubuhkan cawangan universiti di negara ini.

“Tsukuba University boleh mempertimbang untuk datang ke Malaysia dan menubuhkan cawangan kampus. Kita sedang bekerja keras untuk perkara ini.

“Saya harap mereka boleh menangani halangan dan menubuhkan universiti Jepun di Malaysia untuk mengajar bahasa dan budaya mereka,” jelasnya.

Tambah beliau lagi, Malaysia juga mampu menjadi pusat pembelajaran bagi rakyat dari negara-negara Asean yang berminat untuk menuntut di universiti Jepun tanpa perlu pergi ke sana.

“Saya amat menyanjungi budaya Jepun dan di Malaysia, saya sentiasa bercakap tentang perasaan malu yang dimiliki oleh rakyat Jepun.

“Pada zaman dahulu, apabila mereka gagal melaksanakan sesuatu tugasan, mereka akan melakukan ‘harakiri’ (bunuh diri). Tetapi di Malaysia, kadang-kadang kita tidak berasa malu walaupun ketika gagal. Malah, kita juga boleh lihat orang pergi ke penjara tanpa rasa malu langsung, mereka senyum,” ujar Dr. Mahathir.

Oleh yang demikian, beliau menasihatkan bahawa rakyat Malaysia perlu mengubah budaya tersebut.

Tegas Dr. Mahathir, dengan adanya perasaan malu, ia akan mendorong kita untuk mencapai objektif setiap kali kita ditugaskan dengan sesuatu kerja.

Sumber: The Star

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker