Gaya HidupKesihatan

Penyakit Parkinson Mungkin Bermula di Apendiks

Penyakit Parkinson telah lama dianggap sebagai penyakit otak, tetapi penyelidikan pada 31 Oktober 2018 mendapati ia mungkin bermula dari usus di bahagian apendiks, organ kecil berhampiran usus besar.

Menggunakan pendaftaran kesihatan di Sweden dan Amerika Syarikat, para penyelidik mendapati bahawa individu yang telah melakukan pembedahan apendiks pada awal dewasa umumnya melihat risiko mereka mengalami gangguan “neurodegenerative” yang lebih rendah sebanyak 19%, kata kajian dalam jurnal Science Translational Medicine.

Di kawasan pedalaman di Sweden, di mana orang mungkin lebih terdedah kepada racun perosak yang turut menjadi punca kepada penyakit Parkinson, risikonya menurun sebanyak 25%.

“Antara orang yang mempunyai penyakit Parkinson, kami mendapati bahawa usia permulaan telah ditangguhkan secara purata sebanyak 3.6 tahun apabila apendiks dibuang,” kata penulis kajian Viviane Labrie, penolong profesor di Van Andel Research Institute di Michigan, dalam satu panggilan persidangan dengan pemberita .

Kajian itu menunjukkan bahawa apendiks mungkin merupakan tapak tisu yang memainkan peranan dalam kejadian awal atau permulaan penyakit Parkinson, lapor Health24.

Parkinson menjejaskan berjuta-juta orang di seluruh dunia. Beberapa selebriti yang menderita Parkinson termasuk pelakon Michael J Fox dan Alan Alda, penyanyi Neil Diamond dan petinju Muhammad Ali.

Organ tidak berguna?

Selalunya, apendiks dianggap sebagai organ tidak berguna.

Tetapi penyelidik mengatakan ia adalah tempat penyimpanan untuk bakteria usus, dikaitkan dengan tindak balas imun, dan merupakan tempat perhimpunan untuk protein utama yang terlibat dalam Parkinson, dikenali sebagai “alpha-synuclein”.

Mengetahui bahawa orang yang mempunyai Parkinson juga mengalami gangguan perut seperti sembelit sekurang-kurangnya 10 tahun sebelum gejala penyakit Parkinson yang lebih dikenali seperti gegaran, kekakuan dan keseimbangan yang kurang baik, para penyelidik memutuskan untuk melihat lebih dekat pada apendiks dan peranan potensinya.

Mereka mendapati bahawa hampir semua orang mempunyai pengumpulan protein “alpha-synuclein” pada apendiks mereka. Tetapi tidak semua orang berisiko terkena penyakit Parkinson, kerana alasan yang masih tidak difahami dengan baik.

“Kami fikir bahawa dalam kejadian yang jarang berlaku, jika alpha-synuclein bergerak dari apendiks dan memasuki otak, ini boleh membawa kepada penyakit Parkinson,” kata Labrie kepada wartawan.

“Malah, alpha-synuclein adalah sejenis protein yang tidak duduk setempat, dan ia dapat bergerak dari neuron ke neuron,” tambahnya.

“Eksperimen telah menunjukkan protein ini boleh mengembara ke bahagian saraf yang menghubungkan saluran perut ke otak.

“Jika ia masuk ke dalam otak, ia boleh membiak dan menyebar dari sana dan mempunyai kesan neurotoksik yang akhirnya boleh membawa kepada penyakit Parkinson,” jelasnya lagi.

Penyelidik mengatakan bahawa mungkin suatu hari nanti, rawatan dapat dikembangkan untuk mengurangkan pengumpulan protein alpha-synuclein di apendiks dan dengan itu mengurangkan risiko Parkinson.

Sementara itu, pakar menegaskan bahawa mereka tidak mengesyorkan kepada orang ramai untuk membuang apendiks bagi mengurangkan risiko Parkinson, kerana lebih banyak kajian diperlukan.

Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker