AntarabangsaIsu Semasa

Pencemaran Udara Di New Delhi Ibarat ‘Hukuman Mati’

Baru-baru ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendedahkan bahawa jerebu yang teruk di India meragut nyawa lebih sejuta rakyat negara itu setiap tahun, dan keadaan udara di New Delhi pula adalah yang terburuk di dunia.

Setiap bulan November, hospital-hospital di India selalunya akan dipenuhi oleh pesakit yang menghidap penyakit berkaitan pencemaran udara.

Salah seorang mangsa adalah Yogesh Kumar, 29, yang terpaksa menjalani pembedahan untuk membuang paru-parunya yang sudah rosak akibat.

“Udara di Delhi ibarat ‘hukuman mati’ baginya,” kata Dr. Srinivas K. Gopinath, seorang pakar bedah toraks di hospital Sir Ganga Ram yang merawat Kumar.

Difahamkan, zarah pada 2.5 mikron atau PM2.5 – partikel yang sangat kecil sehingga mampu memasuki paru-paru dan saluran darah – sering kali melebihi 30 kali ganda daripada had selamat.

Memetik laporan AFP, salah satu waktu yang menyaksikan udara terburuk adalah ketika sambutan Deepavali susulan aktiviti pembakaran jutaan mercun/bunga api.

Selain itu, ekzos kenderaan, asap yang dilepaskan oleh kilang, dan habuk di tapak-tapak pembinaan yang terlalu banyak turut menyumbang kepada keadaan udara yang tidak sihat.

Kadar bacaan pencemaran juga boleh mencecah tahap yang terlalu tinggi sehingga ia tidak dapat dibaca oleh peralatan-peralatan saintifik.

Sementara itu, Kumar dijangka akan keluar dari hospital pada Rabu, 7 November 2018, tetapi Dr. Gopinath bimbang dengan keadaan kesihatannya selepas ini.

“Di dalam hospital, kualiti udara dijaga, tetapi selepas dia (Kumar) keluar, udara tidak sihat akan menjejaskannya.

“Ketahanannya lemah. Dia hanya mempunyai satu paru-paru yang kini adalah sangat berharga. Bayangkan anda terpaksa menghadapi udara buruk dengan hanya satu paru-paru?,” jelas beliau.

Selain daripada Kumar, terdapat ramai lagi orang lain termasuk kanak-kanak dan golongan warga emas yang menderita akibat pencemaran udara di New Delhi.

Dalam sebuah laporan pada bulan Oktober, WHO menyatakan bahawa ratusan ribu kanak-kanak maut setiap tahun akibat terdedah dengan udara bertoksik.

Lebih membimbangkan lagi, kanak-kanak bernafas lebih laju berbanding orang dewasa, dan ini sekali gus menyebabkan menyedut dua kali ganda lebih banyak udara tercemar.

“Seorang kanak-kanak yang lahir di Delhi menyedut udara tercemar yang bersamaan dengan menghisap 20 sehingga 25 batang rokok pada hari pertamanya di dalam kehidupannya,” ujar pakar bedah paru-paru, Dr. Arvind Kumar.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker