Bisnes & EkonomiSukan

Disebalik Kejayaan King Power Dan Leicester City

Kematian Vichai Srivaddhanaprabha dalam nahas helikopter setelah menyaksikan perlawanan Liga Perdana Inggeris Leicester City menentang West Ham United telah menyaksikan ramai orang berduka cita dan berkabung akibat kehilangan mendadak ini.

Vichai Srivaddhanaprabha, pemilik kelab Leicester City ini sering diambil oleh juruterbang helikopternya di padang King Power setiap kali selepas tamat perlawanan Leicester City di gelanggang sendiri.

Namun, akibat masalah teknikal pada ekor helikopter tersebut ia jatuh dari ketinggian 200 kaki dan terhempas di perkarangan tempat letak kereta Stadium King Power.

Siapakah Vichai Srivaddhanaprabha?

Beliau merupakan hartawan Thailand yang berdarah kacukan Thailand-Cina. Beliau lahir di Bangkok pada 4 April 1958 dan dikurniakan empat cahaya mata hasil perkongsian hidup bersama isterinya, Aimon Srivaddhanaprabha.

Nama sebenar beliau ialah Vichai Raksriaksorn sebelum keluarganya diberikan nama kehormatan Srivaddhanaprabha oleh raja Thailand yang membawa maksud cahaya kemuliaan progresif pada Februari 2013.

King Power Mendatangkan “Power”

Kekayaannya dianggarkan sebanyak US$5 billion (RM20.9 billion) adalah daripada perniagaan bebas cukai iaitu King Power Duty Free yang dipeloporinya pada tahun 1989.

Pada Disember 2009, King Power menerima waran diraja oleh kerajaan Thailand yang memberikannya banyak keistimewaan terhadap perusahaannya yang menyebabkan beliau menjadi orang ke-7 terkaya di Thailand dan kini beliau menjadi orang ke-5 terkaya di negara kelahirannya.

Warga Leicester City Menyanjung Beliau

Vichai membeli kelab bola sepak Leicester City pada Ogos 2010 stelah tiga tahun menaja baju pasukan tersebut. Beliau menjadi pengerusi Leicester City dan juga pemilik kelab tersebut pada 10 Februari 2011.

Anak lelakinya, Aiyawatt Srivaddhanaprabha pula menjadi timbalannya. Mereka memiliki sebuah lagi kelab bola sepak di Belgium iaiti OH Leuven.

Selain minat dalam bola sepak, Vichai juga gemar bermain polo dan beliau juga memiliki sebuah kelab polo di Bangkok iaitu VR Polo Club di samping menjadi Presiden Ham Polo Clu di London pada tahun 2008 sehingga 2012.

Setelah sehari kematian jutawan ini, sejumlah peminatnya mula melatakkan ratusan selendang bola sepak, kemeja-t dan bunga di luar stadium King Power di Leicester City.

John Welford, 68, peminat Kelab Bola Sepak Leicester City berkata, “Seorang lelaki yang menakjubkan! Saya seorang penyokong selama 60 tahun dan secara peribadi merasakan beliau antara pemilik terbaik pernah kami miliki”.

Bagi pekerjanya di Bangkok pula, salah seorang pekerjanya berkata walaupun baru bekerja setahun tetapi saya dapat rasakan beliau seorang yang baik jati kerana Vichai selalu berjalan di sini dan menegur para pekerja.

Bakal Digantikan Oleh ‘Top’

Menurut penulisan di UtusanOnline, perhatian kini tertumpu kepada anak lelaki bongsunya, Aiyawatt, atau lebih dikenali sebagai Top dalam kalangan rak­yat Thai, yang telah dilatih oleh bapanya untuk mengambil alih tampuk kuasa syarikat itu.

“Dengan ketiadaan bapa­nya, Aiyawatt perlu mengambil alih (syarikat itu) sebagai Ketua Pegawai Eksekutif King Power Group, dan juga pengerusi Leicester City Football Club (LCFC),” demikian lapor akhbar harian Thailand berbahasa Inggeris, The Nation baru-baru ini.

Beliau yang baru berusia 32 tahun bakal berdepan tugas yang sibuk sebaik mengambil alih syarikat itu kelak terutamanya dengan kemungkinan monopoli kedai bebas cukai di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi ba­kal berakhir.

Mengekalkan Kekuasaan King Power

“Cabaran pertama beliau adalah untuk mendapatkan semula konsesi baharu (bebas cukai) bagi King Power di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvar­nabhumi apabila lesen 10 tahunnya tamat pada 2020,” lapor akhbar itu.

King Power memenangi bi­daan untuk mengendalikan kedai bebas cukai di lapangan terbang itu pada 2010. 

Airports of Thailand (AOT) yang menguruskan lapangan terbang itu akan menawarkan bidaan bagi konsesi bebas cukai baharu tidak lama lagi sebelum kontrak sekarang berakhir pada Sept 2020.

Agensi itu, yang 70 peratus dimiliki kerajaan berada di bawah tekanan untuk meningkatkan persaingan dalam proses pembidaan bagi konsesi baharu.

Adakah Kekuasaan King Power Bakal Berakhir?

Pakar ekonomi tempatan dan persatuan runcit telah menggesa kerajaan untuk mengakhiri monopoli oleh King Power dengan memberikan konsesi itu kepada pelbagai pengendali kerana ia akan menyediakan lebih banyak hasil kepada kerajaan.

Lotte Duty Free dari Korea Selatan yang mempunyai kedai bebas cukai di Bangkok dan Bangkok Airways yang tersenarai di Stock Exchange of Thailand adalah antara pesaing yang disebut-sebut oleh media tempatan bakal membida lesen untuk mengendalikan kedai bebas cukai di lapa­ngan terbang tersebut.

Selain mengendalikan kedai bebas cukai yang menguntungkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi, King Po­wer Group juga mengendalikan kedai yang sama di Lapa­ngan Terbang Don Mueang Bangkok dan lapangan terbang di Chiang Mai, Phuket dan Hatyai.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker