AntarabangsaIsu Semasa

Ramai Belia Taiwan Tidak Berminat Untuk Sertai Tentera. Tetapi Mengapa?

Baru-baru ini, Tentera Udara Taiwan telah memberikan tawaran yang dilihat ‘menarik’ kepada pelajar-pelajar baru di Tamkang University, di mana individu yang menyertai angkatan tentera akan diberi:

1) Pembiayaan kerajaan untuk melanjutkan pengajian di peringkat ijazah

2) Cuti sebanyak 110 hari setiap tahun

3) Wang simpanan tahunan bernilai T$312,500 (RM42,115)

Namun begitu, para pelajar yang mendengar taklimat mengenai tawaran tersebut masih tidak memberi sambutan yang memberangsangkan.

Menurut mereka, khidmat negara adalah satu “pembaziran masa” dan prospek Taiwan untuk bertahan terhadap ancaman China yang semakin agresif daripada aspek ekonomi serta ketenteraan juga adalah tipis.

“Tidak perlu berperang, ia hanya membazirkan wang. Saya tidak mempunyai keyakinan atau harapan tinggi terhadap tentera kebangsaan,” kata seorang pelajar jurusan kejuruteraan berusia 18 tahun bernama Chen Fang-yi.

Walaupun angkatan tentera sudah mengambil pelbagai langkah, daripada mengadakan ceramah di sekolah menengah dan universiti di seluruh negara sehinggalah mengadakan persembahan “flash mob” oleh pasukan khas, usaha-usaha itu masih tidak berjaya menarik minat anak muda untuk menyertai tentera.

Difahamkan, Taiwan, sejak berdekad-dekad lalu, tidak mewajibkan rakyatnya untuk menjadi anggota tentera, dan ia bergantung sepenuhnya kepada sukarelawan yang benar-benar berminat untuk menyertai pasukan pertahanan tersebut.

Kementerian Pertahanan berkata, ia akan mampu menarik masuk 81% daripada kira-kira 188,000 anggota tentera sukarelawan yang disasarkan untuk menyertai tentera menjelang akhir tahun ini.

Pada tahun 2020 nanti pula, jumlah 81% itu akan ditingkatkan kepada 90%.

Walau bagaimanapun, pakar ketenteraan dan juruaudit kerajaan menyatakan bahawa usaha untuk merekrut anggota baru terbukti menjadi cabaran dan tidak ramai yang mahu menyertai tentera secara sukarela.

Ini sekali gus mendatangkan kebimbangan berhubung kuasa pertahanan Taiwan.

“Kerajaan perlu mempertimbangkan untuk melaksanakan semula kewajipan menyertai tentera sekiranya mereka rasa keselamatan negara adalah penting,” kata Lin Yu-fang, bekas ahli jawatankuasa kongres pertahanan Taiwan.

Dalam pada itu, Kementerian Pertahanan Taiwan juga akan terus meningkatkan kuantiti serta kualiti angkatan tenteranya dan mempunyai rancangan kukuh untuk menghadapi kemungkinan tindakan ketenteraan oleh China.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker