Sukan

Apakah Nasib Presiden PAFA Setelah Didesak Peminat Untuk Letak Jawatan?

Ramai yang mengkritik tindakan Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Hasnul Zulkarnain Munaim yang dipercayai memuat naik status di WhatsApp miliknya bergambar dengan Piala yang dimenangi oleh Pasukan Bola Sepak Perak.

Peminat Mahu Bekas Pengurus Pasukan Menjadi Presiden PAFA

Walaupun beliau yang memohon maaf atas tindakan tersebut dan berharap perkara itu tidak diperbesarkan lagi, penyokong pasukan Perak tetap mendesak Hasnul untuk melepaskan jawatan yang dipegangnya bermula Julai tahun ini dan mahu bekas pengurus pasukan, Ahmad Shahrul Azhar Sofian menerajui PAFA.

Jurucakap kelab penyokong Perak, Mohd. Shirin Adnan berkata, Ahmad Shahrul adalah individu paling layak menggantikan Hasnul Zulkarnain.

“Ini kerana Ahmad Shahrul faham mengenai sukan ini kerana pengalamannya sebagai seorang bekas pemain bola sepak.

“Lebih penting, kami tidak mahu orang politik memimpin persatuan kerana ia hanya akan menghancurkan sukan bola sepak,” katanya dalam sidang akhbar ketika mengadakan perhimpunan yang disertai 200 penyokong di pekarangan Stadium Perak

Hasnul Zulkarnain, 38 tahun yang juga Adun Titi Serong dan merupakan Ketua Pemuda Harapan Perak dan Ketua Pemuda Amanah Negeri dilantik memegang jawatan Presiden Pafa selama satu penggal (2018-2021).

Hasnul Tidak Mahu Melepaskan Jawatan

Menerusi sebuah sidang akhbar selepas majlis penutup Karnival Sinar Harapan di Dataran Sungai Kerian, Parit Buntar, Hasnul menegaskan beliau tidak akan melepaskan jawatannya walaupun didesak oleh penyokong pasukan Perak.

Menurutnya, bagaimana pun jika Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu memberikan arahan supaya berundur, beliau akan akur.

Kenapa Peminat Sangat Marah Dengannya?

Ramai peminat merasakan tindakan Hasnul untuk bergambar dengan piala tersebut di sebuah kawasan penginapan di Lembah Klang adalah sangat tidak sesuai dan tidak menghormati Piala Malaysia yang dimenangi Perak.

Foto kontroversi Hasnul bersama Piala Malaysia yang tular di media sosial Sumber Gambar: Facebook


Tambahan lagi apabila Hasnul Zulkarnain Munaim sekali lagi dikecam hebat ekoran tindakannya membawa Piala Malaysia di atas sebuah bas mengelilingi bandar Parit Buntar tanpa persiapan rapi dan para pemain, malah tidak ramai penyokong yang meraikan perarakan tersebut.

Presiden PAFA, Hasnul Zulkarnain memegang Piala Malaysia dari atas bas dua tingkat di Parit Buntar Sumber Gambar : Facebook

Namun dalam rakaman video di laman sosial, Hasnul Zulkarnain menjelaskan program tersebut bukan perarakan piala tetap promosi Karnival Sinar Harapan Inspirasiku yang akan berlangsung di Parit Buntar.

“Saya memohon maaf di atas kelemahan dan kekhilafan saya. Pafa sedang berbincang dengan kerajaan negeri untuk mengadakan ‘road tour’ perarakan piala ini bersama-sama para pemain,” katanya.

Menurut Hasnul Zulkarnain, beliau masih menunggu kepulangan Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu yang sedang bercuti untuk bincangkan tarikh bagi mengadakan ‘road tour’ piala tersebut.

“Selepas itu kita akan meraikan kemenangan ini bersama-sama rakyat,” katanya.

Presiden Pafa Tidak Menghormati Piala -Peminat

Walau bagaimanapun, tindakannya itu telah menambah lagi kemaraha para penyokong bola sepak Perak sehingga hujung minggu lalu kelab penyokong bola sepak Perak telah mengumpul tanda tangan bagi memulakan petisyen mendesak pengunduran Hasnul Zulkarnain dan sehingga kini ia mengumpulkan lebih 2,000 tanda tangan.

“Perbuatan Presiden Pafa membawa piala yang dimena­ngi para pemain dengan bersusah payah ke mana sahaja dia pergi menunjukkan dia sangat tidak menghormati piala itu sendiri.

“Malah amat memalukan apabila beliau turut bertindak bergambar dengan piala itu di tepi kolam, selain berarak tanpa pemain. Jelas tindakan ini tidak patut dibuat oleh seorang yang bergelar presiden persatuan bola sepak,” kata peminat pasukan bola Perak sejak tahun 80-an, Mohd. Jefferey Amin.

Menurut Hasnul satu mesyuarat Pafa akan diadakan pada Khamis ini bagi membincangkan perkara tersebut untuk ahli gabungan membuat keputusan mengenai isu tersebut.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker