AntarabangsaIsu Semasa

Media Barat Bias Dalam Menggunakan Istilah “Pengganas”

Baru-baru ini, Amerika Syarikat (AS) menyaksikan tiga insiden keganasan yang berlaku di bahagian-bahagian lain di negara itu dalam tempoh tiga hari berturut-turut.

Bukan itu sahaja, malah kejadian-kejadian berkenaan juga mempunyai unsur-unsur ketaksuban dan perkauman yang mendorong penyerang untuk membunuh/cuba membunuh orang-orang yang mereka benci atau dianggap sebagai musuh.

Memetik laporan Al-Jazeera, insiden pertama membabitkan seorang lelaki berkulit putih yang berjalan masuk ke sebuah rumah ibadat di luar Pittsburgh ketika Hari Sabbath, lalu menembak 11 orang jemaah di sana selepas melaungkan “Semua Yahudi perlu mati!”.

Insiden kedua pula menyaksikan seorang lagi lelaki berkulit putih menghantar pakej yang mengandungi bom kepada pemimpin-pemimpin Demokrat serta wartawan di Florida, dan ia dipercayai didorong oleh retorik Presiden Donald Trump dan semangat nativis (benci kepada pendatang).

Di dalam insiden ketiga pula, seorang lelaki bersenjata berkulit putih melaungkan “kulit putih tidak menembak kulit putih”, di luar sebuah kedai runcit di Kentucky.

Kejadian tersebut meragut nyawa dua orang warga emas berkulit hitam.

Walaupun ketiga-tiga insiden tersebut ternyata mengandungi elemen-elemen keganasan, perkataan “keganasan” atau “terorisme” amat jarang atau tidak langsung digunakan oleh media-media yang membuat liputan mengenainya.

Sesebuah insiden boleh diklasifikasikan sebagai “keganasan” sekiranya ia membabitkan perbuatan ganas yang diinspirasikan atau didorong oleh ideologi-ideologi tertentu.

Jika pesalah/penyerang adalah individu berkulit putih atau bukan beragama Islam, liputan media akan melabel mereka sebagai “lone wolf”, “lelaki bersenjata yang kejam”, atau “individu yang tidak stabil dari segi mental.”

Tetapi, sekiranya pesalah/penyerang adalah seorang individu beragama Islam atau berbangsa Arab, mereka akan secara automatik dilabel sebagai pengganas walaupun serangan yang dilancarkan tidak langsung mempunyai elemen-elemen kebencian keagamaan atau perkauman.

Istilah pengganas aktif digunakan oleh ahli-ahli politik dan media, sehingga ia berjaya membentuk persepsi negatif dalam kalangan rakyat Barat terhadap orang Islam/Arab.

Lebih membimbangkan lagi, individu-individu beragama Islam yang baik dan tiada kaitan langsung dengan keganasan sering kali menjadi mangsa jenayah kebencian.

Untuk menghentikan penyalahgunaan istilah tersebut, semua orang perlu sedar bahawa tiada satu pun agama di dalam dunia ini yang menggalakkan pengikutnya untuk melakukan keganasan ke atas sesiapa pun.

Malah, setiap agama di dunia ini sebaliknya mempromosikan keamanan dan kemakmuran dalam kalangan seluruh umat manusia dan juga alam sekitar serta tumbuhan.

Ingatlah bahawa keganasan boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja tanpa mengira warna kulit mahupun latar belakang agama seseorang itu.

Hanya kerana seorang individu melancarkan serangan keganasan, ia tidak bermakna bahawa seluruh kaum atau agamanya juga adalah pengganas.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker