AntarabangsaIsu Semasa

Malaysia-Thailand Rakan Rapat Dalam Hubungan Ekonomi Dan Pertahanan

Selama berdekad-dekad, Malaysia dan Thailand menjalinkan hubungan diplomatik dan pertahanan yang erat.

Walaupun tampuk pemerintahan negara saling berubah dari semasa ke semasa, hubungan keseluruhan kedua-dua negara tetap kekal dalam keadaan yang baik.

Menurut kolumnis The Star, Bunn Nagara menerusi penulisannya bertajuk “Renewing ties between M’sia and Thailand”, perdagangan dua hala Malaysia-Thailand mencatatkan peningkatan sebanyak hampir 20% dalam separuh pertama tahun 2018.

Tahun lepas pula, perdagangan di antara kedua-dua negara ini berkembang sebanyak kira-kira 8% daripada tahun 2016, dan jumlah keseluruhan perdagangan turut merekodkan jumlah besar bernilai RM98.69 bilion pada 2017.

Dalam pada itu, komuniti sempadan juga memainkan peranan besar dalam hubungan perdagangan, memandangkan 60% perdagangan Malaysia-Thailand berlaku di sempadan.

Difahamkan, Malaysia merupakan salah satu rakan dagang utama Thailand di dalam blok ASEAN.

Menurut diplomat-diplomat kanan Thai, hubungan dua hala pada kedua-dua negara tersebut berada di tahap yang terbaik pada masa ini, khususnya dari aspek pertahanan dan ketenteraan yang kini sudah memasuki tahun  ke-53.

Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-ocha juga telah mengadakan pertemuan dengan mantan Panglima Tentera Darat, Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin, yang kini memegang jawatan Panglima Angkatan Tentera Malaysia,  di Bangkok pada bulan Ogos lalu.

Prayut dan Zulkifli sudah mengenali satu sama lain sejak dahulu lagi ketika mereka menjadi ketua tentera di negara masing-masing.

Kini, Malaysia dan Thailand juga terlibat dengan China dalam latihan ketenteraan bersama.

Rundingan Tahunan yang diadakan di antara Perdana Menteri kedua-dua negara sudah menjadi satu kebiasaan dalam hubungan yang sihat ini.

Sementara itu, lawatan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Bin Mohamad ke Thailand juga menandakan perkembangan yang positif dalam hubungan dua hala ini.

Bagi Malaysia pula, ia lawatan ini merupakan peluang yang terbaik untuk memperkenalkan kerajaan baru pimpinan Pakatan Harapan (PH) kepada negara jiran tersebut.

Malam sebelum kedatangan Dr. Mahathir, pegawai-pegawai Thai meluahkan penghargaan kepada Malaysia kerana berkhidmat sebagai fasilitator dalam rundingan damai di wilayah selatan bergolak di Thailand.

Situasi di selatan Thai menunjukkan bahawa masih banyak kerja yang perlu dilakukan menerusi kerjasama yang lebih luas dan rapat di antara kedua-dua negara.

Untuk membantu menyelia keselamatan dan keamatan di peringkat akar umbi, Jawatankuasa Am Sempadan dan Jawatankuasa Sempadan Serantau memainkan peranan yang amat penting.

Kerjasama Malaysia dan Thailand dalam membanteras jenayah juga akan membantu meningkatkan lagi hubungan dan memperbaiki kehidupan penduduk tempatan.

Antara jenayah utama yang memerlukan usaha bersama yang berterusan untuk dibanteras dengan berkesan adalah penyeludupan dan perdagangan manusia.

Sementara itu, duta Malaysia ke Thailand, Datuk Jojie Samuel berikrar untuk membawa hubungan perdagangan serta aspek-aspek lain ke peringkat yang lebih tinggi.

Selain daripada penambahbaikan kemudahan pelabuhan, perkhidmatan kastam, imigresen dan tarikan pelancong juga boleh ditingkatkan lagi.

Malah, terdapat juga cadangan untuk menubuhkan jambatan darat di antara Pelabuthan Songkhla di selatan Thailand dan Pelabuhan Pulau Pinang.

Ini merupakan bukti bahawa kedua-dua negara mempunyai kepentingan yang sama dalam pembangunan ekonomi serta keselamatan, keamanan dan kestabilan.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker