AntarabangsaKesihatan

Apa Rahsia Pelari Maraton Umur 85 Tahun Ini?

Bagi Ginette Bedard yang berumur 85 tahun, kehidupan aktif adalah penting dalam hidupnya dan juga dapat menghilangkan rasa sunyi.

Dengan penyertaannya di maraton New York City ke-16, Bedard, yang dilahirkan di Perancis, akan menjadi wanita tertua di sana.

“Saya tidak memerlukan apa-apa persediaan khas, kerana saya berjalan setiap hari selama tiga jam, dan saya sentiasa bersedia,” katanya.

“Ia adalah tabiat, itu sahaja,” tambahnya. “Saya mempunyai banyak masa, saya sudah bersara, suami saya sudah tiada, apa yang saya patut saya buat? saya berlari, ia dapat mengisi masa.”

Setiap pagi, Bedard membuat perjalanan ke pantai, yang berdekatan dengan rumahnya di kawasan Queen’s New York. Dia tidak pernah mendengar muzik atau podcast semasa berlari.

“Saya tidak mahu apa-apa dalam telinga saya,” tegasnya. “Saya fikir – tentang kehidupan waktu muda saya, kehidupan saya di Perancis, Amerika, sedikit tentang segala-galanya – bil, duit!”

Tidak kira hujan, panas atau salji, Bedard, yang dilahirkan di Metz, Perancis dan berhijrah ke New York pada tahun 1970-an, sebelum menjadi warganegara AS 20 tahun yang lalu, berjalan 20 kilometer setiap hari.

“Tubuh saya memberitahu saya apa yang perlu saya lakukan,” katanya. “Saya dengar.”

Dia juga tidak percaya pada diet khas, menggambarkannya sebagai “mahal dan tidak berkesan.”

“Saya percaya semua benda ada tempatnya,” katanya. “Sedikit wain, sedikit keju, sedikit aiskrim, semuanya dalam kuantiti kecil.” – “Quelle euphorie!”

Pada hari Ahad, Bedard, yang memulakan karier larian maraton pada usia 69 tahun, akan berusaha untuk mengalahkan masa terbaiknya iaitu 3 jam, 46 minit, yang berjaya direkod pada usia 72 tahun, pada 2005.

Pada masa itu, ia merupakan rekod dunia baharu untuk kategori umurnya, tetapi telah berjaya dikalahkan sejak itu.

“Saya rasa muda, baik secara fizikal dan dalam hati saya, seolah-olah saya berusia 20 tahun,” katanya.

“Saya masih boleh memakai bikini yang saya pakai ketika berusia 16 tahun.”

Bedard dahulu sering berlari dengan suami atau kakaknya – tetapi tidak lagi mempunyai pasangan yang seumur dengannya. Namun, tidak mengapa, dia menegaskan.

“Saya suka bersendirian sekarang,” katanya, sambil menambah bahawa dia berasa orang lain tidak boleh bertahan dengan kelajuannya.

“Tidak semua orang mempunyai hasrat, semangat, dan disiplin untuk ini,” kata bekas pekerja Alitalia.

Walaupun sangat independen dia mengakui bahawa dia kadang-kadang merasa kesepian berikutan kematian suaminya empat tahun lalu.

“Saya tidak keberatan mempunyai teman lelaki,” katanya, “tetapi semua lelaki yang seumur saya adalah fogeys (tradisional dan konservatif), dan mereka yang lebih muda sudah berkahwin. Jadi tiada sesiapa untuk saya.

Mudah berputus asa dan keletihan bukan perkataan yang wujud dalam kamus Bedard, “apabila saya sampai di garisan penamat dan mendapat pingat, saya sangat bersyukur!”

Sumber: AFP

Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker