AntarabangsaIsu Semasa

Putera Mahkota Arab Saudi Semakin ‘Lemah’?

Pembunuhan wartawan terkenal, Jamal Khashoggi ternyata memberi impak besar terhadap Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Bin Salman (MBS) memandangkan arahan untuk membunuhnya dipercayai diberi oleh baginda.

Sementara itu, kes ini turut mendatangkan ketidakselesaan terhadap seorang lagi individu penting, iaitu Mohammed bin Zayed (MBZ), Putera Mahkota Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Menurut kolumnis Al-Jazeera, Bill Law menerusi penulisannya berjudul “A tale of two Gulf crown princes”, MBS dan MBZ saling bekerjasama rapat dan menjadi individu-individu utama dalam beberapa isu luar termasuk Perang Yaman serta sekatan udara, darat dan laut yang dikenakan ke atas Qatar, yang merupakan salah sebuah anggota negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC).

Namun begitu, keadaan di Yaman kini bertambah teruk dan krisis Qatar pula tidak mendatangkan manfaat kepada mereka.

Perang Yaman sudah memasuki tahun yang keempat, dan ia ternyata menjejaskan kehidupan jutaan rakyat di negara itu yang kini kehilangan tempat tinggal selain daripada menghadapi kebuluran.

Walaupun tentera UAE dituduh melakukan pelbagai pelanggaran hak asasi manusia di dalam peperangan itu, Arab Saudi masih dilihat sebagai ‘dalang’ utama berikutan pengeboman terhadap orang awam dan infrastruktur bukan tentera yang dilakukan oleh mereka.

Bukan itu sahaja, malah Arab Saudi turut dipersalahkan kerana menyekat kemasukan makanan dan bekalan perubatan ke Yaman.

Peperangan ini turut disifatkan oleh pelbagai pihak sebagai “krisis kemanusiaan yang terburuk di dunia.”

Sehubungan dengan itu, matlamat utama Arab Saudi di dalam Perang Yaman, iaitu menewaskan pemberontak Houthi juga dilihat gagal dicapai sehingga ini.

Sementara itu, tindakan mereka mengenakan sekatan ke atas Qatar, yang pada asalnya bertujuan untuk ‘menundukkan’ negara itu, sebaliknya menjadikan Qatar semakin kuat.

Kini, Arab Saudi juga berdepan tekanan maksimum daripada Amerika Syarikat (AS) untuk menghentikan peperangan di Yaman susulan dakwaan pembabitan mereka di dalam pembunuhan Khashoggi.

Pada 31 Oktober, Setiausaha Pertahanan AS, James Mattis dan Setiausaha Negara, Mike Pompeo, menggesa semua pihak di dalam Perang Yaman untuk mencapai persetujuan gencatan senjata “dalam tempoh 30 hari akan datang”.

Disebabkan kematian Khashoggi juga, MBZ dijangka akan turut terjejas kerana menjalinkan hubungan rapat dengan MBS.

Kekejaman pembunuhan itu, cubaan untuk menutupnya, dan keyakinan orang ramai di seluruh dunia bahawa ia diarahkan oleh MBS, secara langsung melemahkan kedudukan Putera Mahkota itu.

Bapa saudara MBS, Ahmad Bin Abdulaziz, dilaporkan sudah tiba di Riyadh, dan terdapat dakwaan yang menyatakan bahawa Ahmad mungkin akan mengambil alih kedudukan MBS sebagai Putera Mahkota.

Oleh yang demikian, MBS akan mengalami waktu yang sukar untuk terus kekal berkuasa kerana sekiranya baginda kekal sebagai Putera Mahkota sekali pun, reputasinya di dalam dan luar negara kini sudah terjejas.

Situasi ini juga akan mendatangkan kebimbangan terhadap MBZ kerana baginda sudah banyak terlibat dalam pelbagai perkara bersama-sama MBS.

Sekiranya MBZ memutuskan untuk ‘meninggalkan’ MBS, Putera Mahkota Arab Saudi itu akan berada pada kedudukan yang lebih teruk.

 

Sumber: Al-Jazeera

 

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker