Isu SemasaTempatan

Seksyen Baru Akta SPRM Wajibkan Semua MP Dan Menteri Isytihar Harta

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memasukkan satu peraturan/seksyen baru di bawah Akta SPRM 2009 yang mewajibkan semua Menteri dan Ahli Parlimen (MP) untuk mengisytiharkan aset mereka.

Sekiranya gagal berbuat demikian, ia dikira sebagai satu kesalahan di sisi undang-undang dan SPRM mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan dan menyiasat individu tersebut.

Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Seri Shukri Abdull berkata, beliau berharap agar peraturan ini dapat dibentangkan di persidangan Parlimen pada bulan April tahun depan.

“Ini bermakna buat waktu ini, kami (SPRM) tidak boleh mengambil sebarang tindakan ke atas ahli parlimen atau menteri yang masih belum mengisytihar aset mereka kerana seksyen baru ini masih belum dibentangkan (dan diluluskan) oleh Parlimen.

“Apa yang kita boleh lakukan sekarang adalah meminta mereka untuk mempercepatkan proses (pengisytiharan aset) memandangkan ia adalah janji kerajaan Pakatan Harapan untuk menghapuskan rasuah di dalam negara,” katanya.

Jelas Shukri, apabila mereka telah mengisytihar aset mereka, SPRM akan menyemak maklumat-maklumat menggenai harta berkenaan untuk menentukan sama ada ia diperoleh menerusi rasuah atau pun tidak.

“Hari ini, SPRM telah memaparkan senarai pengisytiharan aset oleh MP dan menteri di portal SPRM.

“Sepatutnya, mereka perlu mengisytiharkan aset tiga bulan sebelum mereka mengangkat sumpah,” tegas beliau sambil menggesa mereka yang masih belum berbuat demikian untuk melaksanakannya dengan cepat.

Shukri turut berkata, pihaknya turut akan mendedahkan senarai harta yang dimiliki oleh menteri/ahli parlimen serta pasangan mereka, selain daripada meneliti harta yang diisytiharkan itu sepadan dengan pendapatan mereka.

“Dalam hal ini kebanyakan Ahli Parlimen yang ada sekarang adalah baharu dan pertama kali dipilih sebagai wakil rakyat.

“Saya percaya harta yang mereka miliki itu adalah harta yang mereka peroleh sebelum menjadi Ahli Parlimen atau Menteri dan Timbalan Menteri,” katanya.

Sumber: The Sun Daily, Berita Harian

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker