AntarabangsaIsu Semasa

Negara Asia Mana Yang Paling Bahaya Untuk Wartawan?

Tahun lepas, Filipina ‘dinobatkan’ sebagai negara yang paling bahaya di Asia untuk wartawan.

Bukan itu sahaja, malah negara itu juga dilaporkan telah mula menjadi bahaya sejak beberapa tahun lalu lagi, dan keadaan dijangka tidak akan berubah dalam masa terdekat, lebih-lebih lagi kerana kerajaan Filipina ‘menyasarkan’ wartawan yang mengkritik dasar-dasarnya.

Ini sekali gus mengekalkan kedudukan Filipina sebagai negara di Asia yang paling bahaya bagi golongan wartawan.

Difahamkan, seramai sembilan orang wartawan telah dibunuh sejak Presiden Rodrigo Duterte dilantik menjadi presiden pada bulan Jun 2016.

Menurut Phillippine Centre for Media Freedom and Responsibility (CMFR), sebanyak sekurang-kurangnya 85 serangan telah dilancarkan ke atas media di bawah pemerintahan Duterte.

Ini termasuk pelbagai kes pembunuhan, 6 cubaan membunuh, dan 11 ancaman bunuh ke atas golongan wartawan.

“Secara berasingan dan bersama, kesemua 85 kes ini telah menjadikan kewartawanan sebagai satu bidang yang lebih merbahaya di bawah Duterte,” kata CMFR dalam satu kenyataan.

Lebih membimbangkan lagi, kumpulan wartawan Reporters Without Borders (RSF) menyatakan bahawa Duterte sendiri yang menggalakkan serangan ini menerusi “komen-komennya yang mempunyai makna tersembunyi, tetapi merbahaya,” terhadap wartawan.

Terdahulu, presiden berkontroversi tersebut pernah berkata bahawa membunuh wartawan, sekiranya mereka korup, adalah satu tindakan yang boleh diterima.

Berdasarkan indeks kebebasan akhbar global RSF, Filipina berada pada tangga ke-133 daripada 180 negara di seluruh dunia.

Perkara ini mencerminkan “kebencian yang semakin meningkat” terhadap wartawan, dan sikap ini “digalakkan secara terbuka” oleh ahli-ahli politik.

Dalam pada itu, laporan terkini mengenai kebebasan akhbar yang diterbitkan oleh Jawatankuasa Untuk Melindungi Wartawan (CPJ), menyenaraikan Filipina sebagai negara kelima di dunia yang mempunyai rekod terburuk dalam mendakwa pembunuh-pembunuh wartawan.

Namun begitu, ketua jawatankuasa keselamatan media Filipina, Joel Egco, melihat laporan itu sebagai satu ‘penambahbaikan’ bagi kedudukan negaranya.

Daripada tahun 2011 sehingga 2014, Filipina berada pada tangga yang ketiga dalam senarai berkenaan sebelum menurun ke kedudukan keempat pada 2015 dan 2016.

“Kita sedar dengan sikap optimis bahawa Filipina, walaupun kekal pada kedudukan kelima daripada tahun 2017, telah memperbaiki kedudukannya,” kata Egco.

Tegas beliau, keputusan ini sudah dijangka kerana ia meliputi semua kes pembunuhan yang tidak berjaya diselesaikan sejak 10 tahun yang lalu.

Tetapi menurut Egco, lebih separuh daripada 102 wartawan yang dibunuh di Filipina sejak tempoh sedekad lalu tidak berkaitan dengan pekerjaan mereka.

 Beliau juga tidak bersetuju dengan pandangan bahawa Duterte sendiri yang menyerang wartawan dan menyebabkan keadaan menjadi lebih buruk.
Pembunuhan media adalah hasil daripada persekitaran yang ganas dan permusuhan,” ujarnya.

 

 

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker