AntarabangsaIsu Semasa

China Benarkan Perdagangan Tulang Harimau, Sumbu Badak

China akan membenarkan perdagangan produk berasaskan harimau dan badak terancam dalam “keadaan khas”, sekaligus menarik balik larangan sebelumnya dan membawa kutukan dari kumpulan pemuliharaan.

Notis dari Kabinet yang dikeluarkan tidak menyebut sebarang perubahan dalam undang-undang sebaliknya mengatakan ia akan “mengawal” perdagangan sumbu badak dan tulang harimau yang hanya boleh diperolehi daripada haiwan ternakan untuk digunakan dalam “penyelidikan perubatan atau dalam rawatan”.

“Di bawah keadaan khas, peraturan penjualan dan penggunaan produk-produk ini akan diperkukuhkan dan sebarang tindakan berkaitan akan diberi kuasa, dan jumlah dagangan akan dikawal dengan ketat,” kata kenyataan itu.

Tulang harimau dan sumbu badak digunakan dalam perubatan tradisional Cina, walaupun kekurangan bukti keberkesanannya dalam merawat penyakit dan memberi kesan buruk terhadap populasi liar.

Permintaan China untuk gading juga dipersalahkan sebagai dalang di sebalik penyembelihan gajah Afrika, meskipun Beijing melarang semua perdagangan gading bermula dari tahun ini.

Tiada alasan diberikan untuk menarik balik larangan yang telah dilaksanakan pada tahun 1993 di tengah-tengah usaha global untuk melindungi spesies terancam yang semakin pupus.

Kenyataan itu juga tidak mengatakan apa-apa mengenai mengawal selia penternakan harimau dan badak, tetapi menambah bahawa kerajaan pusat “menggesa pemerintah di semua peringkat untuk meningkatkan kegiatan publisiti untuk melindungi haiwan tersebut untuk membantu orang ramai secara aktif memboikot apa-apa pembelian haram.”

Dana Hidupan Liar Dunia (WWF) berkata langkah untuk membatalkan larangan itu akan mempunyai “kesan buruk di peringkat global” dengan membolehkan pemburu dan penyeludup bersembunyi di belakang perdagangan yang sah.

“Dengan harimau liar dan populasi badak di tahap yang rendah dan menghadapi banyak ancaman, perdagangan yang disahkan akan memberi kesan yang negatif terhadap haiwan itu,” kata Margaret Kinnaird, pemimpin amalan hidupan liar WWF.

“Keputusan ini seolah-olah bertentangan dengan kepimpinan China yang ditunjukkan baru-baru ini dalam menangani perdagangan hidupan liar secara haram,” kata Kinnaird.

Menurut kajian oleh Agensi Penyiasatan Alam Sekitar, walaupun terdapat larangan, China telah lama membenarkan penternakan ladang harimau yang menuai tulang haiwan itu dan secara diam-diam membenarkan penjualan mereka untuk tujuan perubatan.

Pengendali juga dipercayai menyiasat kemungkinan penternakan badak di negara itu walaupun tidak seperti harimau, badak tidak berasal dari China.

EIA menyifatkan pembatalan larangan itu sebagai “tindakan yang kurang ajar dan regresif yang secara drastik melemahkan usaha antarabangsa untuk pemuliharaan harimau dan badak”.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker