AntarabangsaIsu Semasa

Lion Air: Penumpang masih terikat di tempat duduk pesawat

Kerusi, roda dan bahagian lain pesawat Lion Air yang terhempas dikeluarkan dari dasar laut sementara pihak berkuasa menganalisis maklumat kotak hitam yang mungkin menjelaskan punca kapal terbang yang masih baru itu terhempas ke dalam Laut Jawa dan membunuh 189 orang.

Pasukan pencarian mencari badan pesawat Boeing-737 MAX 8 yang terhempas itu sejurus selepas berangkat pada Isnin lalu, walaupun baru digunakan beberapa bulan.

“Hari ini kami akan menyelam (lagi) di lokasi dijangka pesawat terhempas.

“Terdapat banyak serpihan, roda pesawat dan kerusi – semuanya hancur berderai,” kata Isswarto, Komander Bahagian mencari dan menyelamat tentera laut Indonesia.

Penyelam mencari di kawasan sedalam 25 hingga 35 meter, dan anggota badan yang ditemui semakin berkurangan, katanya.

“Semuanya berselerak malah ada yang mungkin sudah dihanyutkan arus,” katanya.

Puluhan beg mayat mengandungi sisa mayat sudah dibawa dari lokasi nahas setakat ini.

Gambar disiarkan di televisyen menunjukkan penyelam mengikat tali pada bahagian pesawat yang berselerak di dasar laut.

Sementara itu, banyak beg yang mengandungi cebisan tubuh mangsa dibawa ke hospital bagi menjalani ujian DNA untuk mengenal pasti identiti mangsa.

Isswarto berkata, ramai mangsa belum ditemui dan berharap dapat ditemui segera termasuk mereka yang mungkin masih terikat di tempat duduk pesawat.

 

Usaha kini ditumpukan kepada mendapatkan kotak hitam kedua, ketika rakaman suara kokpit dan rakaman data penerbangan sudah diketahui, kata ketua panel keselamatan pengangkutan Indonesia.

“Pasukan pencari mendengar bunyi ‘ping’ daripada satu lagi kotak hitam sejak dua hari lalu,” kata Soerjanto Tjahjono.

Dasar laut cuma 30 meter dalam tetapi arus deras dan saluran paip tenaga berhampiran menghalang usaha mencari pesawat itu, yang menuju ke Pangkal Pinang apabila ia terhempas.

Ketika saudara mara mangsa terdesak untuk mengetahui kejadian sebenar, siasatan ke atas nahas Boeing Co 737 MAX itu, yang baru beroperasi Ogos lalu, juga menjadi fokus penilaian industri penerbangan global.

Semalam, penyelam tentera laut menarik keluar unit memori yang terselamat daripada salah satu kotak hitam, meningkatkan harapan ia menyimpan data menunjukkan apa yang tidak kena dengan penerbangan JT610, yang juruterbangnya mendapat izin berpatah balik sebelum terhempas.

Namun kerosakan dialami peralatan itu menunjukkan tahap teruk impak nahas, kata penyiasat, menambah mereka tidak tahu ia daripada kotak hitam yang mana.

Panel keselamatan pengangkutan Indonesia berjanji berusaha secepat mungkin untuk memuat turun data, yang mengambil masa dua jam, walaupun proses analisis memerlukan beberapa minggu.

Keputusan siasatan awal akan diberitahu selepas 30 hari, kata salah seorang pegawai.

– Berita Harian / NST / Reuters / AFP

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker