Isu SemasaTempatan

Tiada Lagi Peperiksaan Untuk Murid Tahun 1-3

Peperiksaan untuk murid dari Tahun Satu, Tahun Dua dan Tahun Tiga akan dibatalkan mulai tahun 2019.

Menteri Pelajaran Dr. Maszlee Malik, yang mengumumkannya di Twitter berkata peperiksaan itu akan digantikan dengan penilaian yang lebih objektif mulai tahun depan.

“Peperiksaan untuk murid di Tahap 1 (Tahun 1, 2 dan 3) akan dibatalkan dan diganti dengan bentuk penilaian yang lebih objektif mulai tahun 2019,” katanya.

Dalam ucapan penggulungannya di Parlimen pada hari Selasa, Dr Maszlee berkata penilaian akan dilakukan terhadap perkembangan pembelajaran murid-murid.

“Ini sejajar dengan keinginan kami untuk menggantikan budaya berorientasikan peperiksaan dengan penilaian berasaskan sekolah (PBS),” katanya.

Dr Maszlee berkata tujuan asal PBS, yang dilaksanakan sejak tahun 2011, adalah untuk menilai murid, tetapi bukan melalui pencapaian dalam peperiksaan.

“Ramai orang terkejut apabila diumumkan bahawa murid Tahun Satu, Dua dan Tiga tidak akan menduduki peperiksaan. PBS telah dilaksanakan pada tahun 2011 tetapi malangnya ia tidak mencapai matlamatnya.

“Semangat PBS hilang. Hari ini, guru masih bersandar kepada peperiksaan sebagai kayu ukur untuk prestasi pelajar,” katanya dalam temubual khas dengan NST.

Mengulas lebih lanjut, Dr. Maszlee berkata dengan penghapusan peperiksaan, kementerian berharap guru akan memberi tumpuan lebih kepada mengenal pasti pelajar yang berpotensi melalui pembelajaran yang ceria dan menyeronokkan.

“Kami mahu murid peringkat ini gembira untuk belajar, dan tidak dibebankan dengan peperiksaan. Kami akan cuba melatih guru berdasarkan sistem PBS supaya ia mempunyai kesan positif, “katanya.

Sejak berkhidmat di kementerian, Dr. Maszlee telah membuat beberapa cadangan untuk merombak sistem pendidikan seperti mengurangkan jumlah kerja pentadbiran guru, mengurangkan berat beg sekolah murid, meningkatkan penggunaan Bahasa Malaysia, dan menggalakkan pelajar menguasai lebih daripada tiga bahasa.

Setiausaha Agung Kesatuan Profesion Pengajaran Kebangsaan, Harry Tan menyambut baik cadangan Dr Maszlee, mengatakan kesatuan itu sentiasa menginginkan pendidikan holistik untuk golongan muda.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker