AntarabangsaIsu Semasa

Arab Saudi “Langgar Etika” Hubungan Antarabangsa Terhadap Indonesia

Tindakan Arab Saudi yang melaksanakan hukuman pancung ke atas seorang pembantu rumah warga Indonesia pada Isnin baru-baru ini ternyata mencetuskan kemarahan kerajaan Indonesia.

Difahamkan, pembantu rumah berkenaan bernama Tuti Tursilawati telah membunuh majikannya  yang merupakan warga Arab Saudi atas dasar mempertahankan diri daripada dirogol lelaki berkenaan.

Dalam satu kenyataan, Presiden Indonesia, Joko Widodo atau ‘Jokowi’ berkata, beliau telah menghubungi Menteri Luar Arab Saudi, Adel al-Jubeir pada Rabu, untuk memfailkan aduan dan mahu mengetahui mengapa pihaknya tidak dimaklumkan bahawa Tursilawati akan dihukum bunuh pada Isnin.

Menurut Hikmahanto Juwana, seorang pakar dalam undang-undang antarabangsa dari Universiti Indonesia, Riyadh telah “melanggar norma hubungan antarabangsa” kerana tidak memaklumkan Jakarta bahawa hukuman tersebut akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

Kes ini sekali gus mencetuskan kebimbangan kira-kira 11 juta pekerja asing dari lebih 100 buah negara di seluruh dunia yang mencari rezeki di Arab Saudi.

Daripada jumlah berkenaan, sekitar 2.3 juta bekerja sebagai pembantu rumah.

Sehubungan dengan itu, pekerja-pekerja asing juga dilaporkan berpotensi untuk dieksploitasi di bawah sistem pembiayaan visa Arab Saudi, yang dikenali sebagai ‘kafala’.

Kafala adalah sebuah sistem yang bertujuan untuk memantau warga asing yang bekerja di dalam sektor binaan dan domestik, dan ia turut dilaksanakan di beberapa buah negara Teluk Parsi yang lain.

Mahkamah Arab Saudi telah menjatuhkan hukuman mati ke atas Tursilawati pada tahun 2011 kerana membunuh majikannya pada tahun sebelumnya.

Ibu kepada seorang anak itu dilaporkan baru sahaja sampai ke negara itu sembilan bulan sebelum kejadian.

Sementara itu, Migrant Care, sebuah organisasi yang memperjuangkan hak warga Indonesia yang bekerja di luar negara berkata, Tursilawati mempertahankan dirinya kerana bimbang dirogol oleh majikannya itu.

Migrant Care turut menyeru kerajaan Indonesia untuk menarik semula keputusan yang membenarkan rakyat negara tersebut untuk mencari pekerjaan di Arab Saudi.

Pada tahun 2015, Indonesia telah melarang pekerja domestik untuk pergi ke 21 buah negara di Timur Tengah berikutan pelbagai laporan/aduan penderaan.

Menurut kumpulan hak asasi manusia, Amnesty International, Arab Saudi telah melaksanakan hukuman mati ke atas 146 orang pada tahun 2017.

Ini sekali gus menjadikannya negara ketiga di dunia yang paling banyak menghukum mati pesalah selepas China dan Iran.

Sekurang-kurangnya 4 rakyat Indonesia telah dihukum bunuh di Arab Saudi sejak tahun 2011, dan setakat bulan Mac tahun ini, kira-kira 20 warganegara tersebut sedang menanti hukuman untuk dijatuhkan ke atas mereka.

“Banyak kali, Arab Saudi telah menjejaskan etika diplomatik kedua-dua negara yang sepatutnya diutamakan bagi menghormati hak asasi manusia,” kata pengarah Amnesty International Indonesia, Usman Hamid.

Sumber: Jakarta Post

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker