Isu SemasaPolitikTempatan

Apa Perbezaan Pemilihan PKR Dan UMNO?

Selain daripada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 2018 turut menjadi tahun yang mustahak bagi parti-parti politik seperti UMNO dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Pada tahun ini, UMNO dan PKR mengadakan pemilihan dalaman parti bagi melantik barisan kepimpinan baru bagi beberapa tahun yang akan datang.

Walau bagaimanapun, kedua-dua parti ini mengamalkan proses atau sistem pemilihan parti yang berlainan.

PEMILIHAN UMNO

Buat pertama kali dalam sejarah, UMNO telah mengadakan pemilihan parti pada bulan Jun lalu bukan sebagai parti kerajaan pemerintah, berikutan kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam PRU14.

Pemilihan ‘parti keramat’ ini diadakan sekali dalam tempoh empat tahun, dan lebih daripada 150,000 anggota telah mengundi untuk memilih presiden serta calon-calon baru bagi memegang pelbagai jawatan bagi sesi 2018–2021.

Sebelum pemilihan 2018, kali terakhir UMNO mengadakan pemilihan adalah pada tahun 2013.

Tahun tersebut juga menandakan kali pertama ia mengadaptasikan sistem “electoral college” (kolej pemilih) bagi meluaskan lagi kumpulan pengundi.

Tidak seperti sistem mengundi pilihan raya “First-Past-The-Post” (satu orang, satu undi), calon-calon yang bertanding bagi jawatan dalam UMNO perlu meraih jumlah undi yang paling banyak daripada pengundi dalam sesebuah bahagian itu, di mana setiap bahagian kemudian hanya akan membawa satu undi bagi calon yang dipilih (satu bahagian, satu undi).

Berikut adalah acara-acara penting dalam proses Pemilihan UMNO:

1. CAWANGAN UMNO

Cawangan UMNO akan mengadakan mesyuarat tahunan dan pemilihan untuk memilih anggota-anggota cawangan.

2. PENCALONAN JAWATAN TERTINGGI PARTI

Penamaan calon bagi ahli-ahli UMNO yang berhasrat untuk bertanding dalam jawatan-jawatan tertinggi parti.

3. WANITA UMNO, PEMUDA DAN PUTERI PERINGKAT BAHAGIAN

Wanita UMNO, Pemuda, dan Puteri di peringkat bahagian akan mengadakan mesyuarat tahunan serta pemilihan untuk melantik ketua-ketua sayap bagi peringkat bahagian dan pusat.

Bagi pemilihan ketua sayap, kira-kira 100,000 ahli akan membuang undi mereka.

4. PEMILIHAN JAWATAN TERTINGGI PARTI

Kesemua 191 bahagian UMNO akan mengadakan mesyuarat tahunan dan pemilihan untuk melantik ketua-ketua bahagian dan ahli majlis tertinggi.

Kira-kira 150,000 ahli akan mengundi bagi pemilihan ini.

5. KEPUTUSAN PEMILIHAN

Pada kebiasaannya, keputusan akan diumumkan pada hari mengundi itu juga.

PEMILIHAN PKR

PKR mempunyai proses pemilihan terpanjang di dalam negara ini. Memetik laporan Malaysia Kini, parti tersebut mengumumkan keputusan mingguan mengikut peringkat cabang.

Tahun ini juga adalah tahun yang bersejarah bagi PKR memandangkan ia adalah pemilihan pertama yang dilaksanakan selepas berjaya menjadi kerajaan baru, susulan kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam PRU14.

Difahamkan, pemilihan kali ini mempertandingkan 76 jawatan di peringkat pusat dan hampir 10,212 jawatan di peringkat cabang seluruh negara.

Berbeza dengan parti-parti lain, setiap anggota parti diberi hak untuk mengundi, dan PKR kini mempunyai seramai 800,000 anggota.

Sementara itu, antara syarat utama untuk seseorang individu menjadi calon di peringkat cabang dan pusat adalah mereka perlu menjadi ahli parti sekurang-kurangnya selama setahun.

Kemudian, individu tersebut memerlukan seorang pencadang dan penyokong, sekali gus layak untuk menjadi calon.

Seperti yang tertakluk di bawah Perlembagaan PKR, pemilihan parti perlu diadakan empat tahun sekali dan mesyuarat tahunan cabang yang dikenali sebagai Kongres Nasional Tahunan parti hendaklah diadakan setahun sekali pada bila-bila masa sebelum berakhir bulan Jun atau pada tarikh ditetapkan Majlis Pimpinan Pusat, dengan syarat tidak lewat daripada 18 bulan dari tarikh Kongres Nasional Tahunan yang lalu.

Berikut adalah proses pemilihan PKR:

1. MESYUARAT DAN PENCALONAN PERINGKAT CABANG

2. PENAMAAN CALON UNTUK MAJLIS PIMPINAN TERTINGGI

3. KEMPEN

4. PENGUNDIAN

5. KEPUTUSAN PENGUNDIAN MENGIKUT NEGERIKeputusan pengundian mengikuti negeri 

6. KEPUTUSAN PENUH

Buat julung kalinya juga, PKR melaksanakan pemilihan parti dengan menggunakan sistem e-undi (undian elektronik).

Difahamkan, auditor bebas turut dilantik untuk memantau proses pemilihan termasuk pengekodan (coding).

Menerusi sistem e-undi ini, proses pengiraan undi dilakukan secara automatik di dalam sistem.

Untuk membuang undi, anggota parti hanya perlu hadir di pusat pengundian dan pamerkan kad pengenalan mereka bagi mengesahkan keahlian.

Selepas itu, pengundi perlu pergi ke alat peranti yang disediakan untuk mengundi dengan mengklik calon pilihan mereka.

Keputusan penuh kemudian akan diumumkan oleh Jawatankuasa Pemilihan PKR selepas selesai proses mengundi.

 

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker