Isu SemasaTempatan

Lebih 300,000 Lelaki di Malaysia Adalah Gay

Golongan gay dan transgender di negara ini mencatatkan peningkatan mendadak sejak beberapa tahun ini, menurut Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) yang memetik statistik dari pelbagai sumber.

Daripada kira-kira 173,000 gay pada tahun 2013, angka itu meningkat hampir 100 peratus kepada 310,000 tahun ini. Bagi transgender, bilangan itu meningkat kepada 30,000 tahun ini berbanding 10,000 pada tahun 1988.

Timbalan Pengarah Pembangunan Keluarga dan Masyarakat Jakim, Dr Mohd Izwan Md Yusof berkata statistik yang menggambarkan trend yang semakin meningkat adalah satu punca yang perlu diambil kira.

Bercakap pada seminar mengenai Budaya dan Kekeliruan Gaya Hidup Kontemporari 2018, Dr Mohd Izwan berkata salah satu punca budaya lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) bermula semasa berada di sekolah berasrama.

“Sebagai contoh, ramai pelajar lelaki terutamanya antara Tahun Enam dan Tingkatan Tiga, masih belum matang dan mereka tidak dapat membezakan sentuhan yang betul dan yang salah.

“Dalam beberapa kes, pelajar lelaki ini memasuki sekolah asrama dan diliwat oleh senior mereka. Dan mereka menjadi ketagih dengan perbuatan itu dan perlahan-lahan berubah menjadi seorang gay.

“Oleh itu, saya merasakan bahawa sekolah berasrama hanya perlu dibenarkan untuk pelajar Tingkatan Empat (16 tahun) dan ke atas. Bagaimanapun, itu adalah pendapat peribadi saya dan boleh dibincangkan lebih lanjut,” katanya kepada pemberita.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Izwan berkata semua pihak yang berkepentingan perlu diajak untuk membincangkan isu berkaitan dengan sekolah berasrama dengan Jabatan Perdana Menteri yang memimpin.

Sementara itu, Dr Mohd Izwan berkata banyak faktor lain turut menyumbang kepada peningkatan populasi LGBT, termasuk akses mudah ke media sosial dan laman web.

“Di sinilah pengawasan ketat dari keluarga diperlukan. Pada masa lalu, kita bimbang apabila anak-anak keluar rumah dan tidak pulang. Sekarang, kita bimbang apabila mereka mengunci diri di dalam bilik selama berjam-jam tanpa keluar.

“Satu lagi faktor penyumbang ialah pencorakan hidup seseorang individu, sama ada seseorang itu tiada bapa, tidak mendapat kasih sayang keluarga atau terlalu dikongkong.

“Kemudian ada juga yang membuli atau mengejek lelaki ‘lembut’ yang sering dianggap sebagai ‘sotong’, pengaruh pornografi dan pelbagai lagi bahan lucah,” tambahnya.

Walaupun terdapat kira-kira 300,000 orang “gay” di Malaysia, tidak semua mereka terlibat dalam hubungan seks.

Menurut laporan NST, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa berkata statistik itu juga termasuk individu yang tidak terlibat dalam hubungan seks songsang.

“Kita perlu melihat semula angka itu. Ada orang yang mempunyai keinginan sejenis tetapi tidak bermakna mereka melakukannya. Kita tidak boleh menyamakan mereka dan mengatakan bahawa mereka semua bersalah. “

Mujahid berkata kerajaan menggunakan langkah-langkah proaktif dalam menangani isu LGBT yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Jakim dalam tempoh lima tahun yang lalu, berjaya memimpin kira-kira 1,450 LGBT kembali ke jalan yang benar melalui program mukhayyam.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker