AntarabangsaIsu Semasa

Korea Selatan Tolak Permohonan Suaka Hampir 400 Warga Yaman

Pada 17 Oktober lalu, Korea Selatan telah menolak hampir 400 permohonan status pelarian oleh warga Yaman yang telah tiba di pulau Jeju sejak beberapa bulan yang lepas.

Memetik laporan Straits Times, seramai 500 rakyat dari negara bergolak itu telah melarikan diri ke Jeju pada awal tahun ini, di mana mereka dikatakan ‘mengambil kesempatan’ terhadap dasar bebas visa di pulau tersebut yang bertujuan untuk menggalakkan pelancongan.

Kedatangan penduduk Yaman telah mencetuskan gelombang sentimen anti-pendatang di Korea Selatan, dan perkara ini turut menyebabkan diskriminasi ke atas pekerja asing semakin berleluasa.

Difahamkan, hanya 4% daripada populasi di Korea Selatan adalah warga asing, yang kebanyakannya datang dari China dan Asia Tenggara.

Sementara itu, hampir 700,000 orang telah menandatangani petisyen di laman sesawang presiden untuk menggesa kerajaan agar mengetatkan lagi undang-undang pelarian yang sudah ketat di negara berkenaan.

Bukan itu sahaja, malah kebebasan visa di pulau Jeju juga akan dibuah semata-mata untuk mengecualikan rakyat Yaman.

Berdasarkan statistik, seramai 481 warga Yaman telah memohon status pelarian, tetapi semuanya ditolak.

Namun, kira-kira 339 orang diberi permit untuk tinggal di negara itu atas dasar kemanusiaan.

Permit ini akan membolehkan mereka untuk kekal di Korea Selatan selama tempoh setahun, tetapi ia perlu diperbaharui setiap 12 bulan dan juga boleh ditolak sekiranya keadaan keselamatan di Yaman bertambah pulih.

Sejak tahun 1994, Korea Selatan telah meluluskan hanya 4.1% daripada semua permohonan.

Walau bagaimanapun, undang-undang pelarian tidak terpakai pada rakyat Korea Utara, kerana mereka secara langsung dianggap sebagai rakyat Selatan sekiranya mereka melarikan diri ke negara itu.

Sebuah tinjauan terbaru pula mendapati bahawa kira-kira separuh daripada seluruh rakyat Seoul menolak kemasukan pencari suaka Yaman..

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker