Isu SemasaTempatan

Harga Kediaman Turun 5% – 10% Dengan Pengecualian SST

Harga rumah baru berpotensi untuk menurun di antara 5% dan 10% berikutan pengumuman Menteri Kewangan, Lim Guan Eng untuk mengecualikan kos perkhidmatan pembinaan dan bahan-bahan binaan daripada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

“Kami (kementerian) menetapkan pengecualian kerana kami mahu meningkatkan sektor hartanah. Kami berharap untuk menyaksikan penurunan harga rumah baru.

“Jika tidak, kami akan mempertimbang untuk mengenakan SST (ke atas pemaju),” kata Lim dalam satu sidang media pada Selasa, 30 Oktober 2018.

Sidang media tersebut turut dihadiri oleh Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda), Datuk Soam Heng Choon.

Memetik laporan The Star, beliau menyatakan bahawa diskaun yang diberi ini hanya terpakai pada rumah-rumah yang baru dilancarkan dan tidak termasuk projek-projek perumahan berkos rendah.

“Bagi unit-unit (rumah) sedia ada yang telah dibina, anda perlu tunggu sehingga hari pengumuman Bajet (2019) Jumaat ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, Lim turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Rehda di atas sokongan persatuan tersebut terhadap inisiatif ini walaupun dengan notis yang singkat.

“Saya berharap ia adalah diskaun 10%, tetapi kita akan memberi masa kepada Rehda untuk bekerja ke arah mencapai matlamat itu,” tambah beliau.

Memandangkan pengecualian SST ini dikuatkuasakan ke atas semua jenis perkhidmatan pembinaan, Lim berharap agar penjimatan dari aspek kos pembangunan oleh pemaju akan memanfaatkan pembeli rumah.

“Orang ramai tanya saya jika saya meminta terlalu banyak untuk diskaun 10% (bagi harga rumah) dengan pengecualian cukai 6%.

“Saya kata tidak, ia amat berpatutan kerana kita bercakap tentang mengecualikan (cukai) semua perkhidmatan pembinaan, termasuk industri, perumahan, dan komersil.

“Jadi, pemaju yang menerima manfaat daripada pengecualian cukai ini, tolong berikannya kepada pemilik rumah,” tambah Lim.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker