Baru-baru ini, Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe bersama rakan sejawatannya dari China, Li Keqiang telah menyambut ulang tahun ke-40 perjanjian persahabatan Jepun-China, menerusi lawatan Abe ke negara itu.
Lawatan tersebut juga bertujuan untuk memulihkan hubungan di antara kedua-dua negara itu yang agak keruh sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Kali terakhir Perdana Menteri Jepun melawat China adalah pada tahun 2011.
Difahamkan, hubungan Jepun-China telah mengalami pemulihan yang pantas dan positif selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengenakan tarif besar ke atas mereka.
Bagi menangani masalah itu, China dan Jepun akan berbincang mengenai bagaimana untuk meningkatkan kerjasama ekonomi di antara kedua-dua pihak.
Memetik laporan Bloomberg, perniagaan-perniagaan di Jepun mahu mendapatkan akses yang lebih luas di dalam pasaran China yang besar, manakala China pula berminat untuk mendapatkan teknologi serta kepakaran Jepun di dalam bidang korporat.
Sementara itu, Li menyeru negara-negara di seluruh dunia untuk “bersama-sama mempromosikan keamanan serantau” serta “melindungi multilateralisme dan perdagangan bebas.”
Abe pula berkata, Jepun dan China memainkan peranan yang tidak boleh diganti dalam pembangunan ekonomi Asia dan dunia.
Beliau turut menggesa kedua-dua pihak untuk terus bekerjasama bagi “mempromosikan keamanan dan kesejahteraan dunia.”
“Negara-negara kami telah mengambil usaha yang berterusan demi meningkatkan hubungan,” kata Abe sambil berharap agar lawatannya ini dapat membawa hubungan dua hala ke tahap yang baru.
Dalam pada itu, China dan Jepun juga akan memberi fokus terhadap pelbagai perjanjian perniagaan, termasuk pelaburan bersama di dalam infrastruktur di negara-negara serantau seperti Indonesia dan Filipina.
Jelas Abe, mereka turut merancang untuk membincangkan isu Korea Utara serta konflik serantau, dalam usaha menjadikan Laut Timur China sebagai “lautan aman, persahabatan, dan kerjasama.