Isu SemasaTempatan

Ingatkan Pergi Bercuti Ke Turki, Rupa-Rupanya Wanita Ini Dihantar Ke ‘Zon Perang’

Janda seorang bekas anggota militan IS yang telah meninggal dunia mendedahkan bahawa dia telah ditipu oleh suaminya untuk pergi ke Syria.

Menurut wanita yang dikenali sebagai Aisyah itu, suaminya menyatakan bahawa dia hendak membawa keluarga pergi bercuti ke Turki, namun lelaki tersebut sebaliknya membawa mereka ke negara bergolak Syria untuk menyertai perjuangan militan.

Aisyah yang juga ibu kepada dua orang anak berkata, dia sedang mengandungkan anak keduanya (lelaki) ketika hendak pergi ke ‘Turki.’

“Suami saya membeli pakej percutian selama 9 hari dan kami bertolak pada 16 Mac (2016). Kami menetap di sebuah hotel di Istanbul selama 5 hari sebelum suami saya memindahkan kami ke sebuah rumah yang dimiliki oleh sebuah keluarga dari Uzbekistan.

“Pada waktu itu, saya mendapati bahawa rancangan sebenarnya adalah untuk pergi ke Syria,” kata Aisyah dalam satu sidang media khas di Bukit Aman pada minggu lepas.

Memetik laporan The Star, Aisyah melahirkan anak lelakinya itu pada 3 Jun di sebuah rumah sewa di Turki kerana bimbang akan ditahan oleh pihak berkuasa negara itu jika bersalin di hospital.

Ujarnya lagi, mereka sekeluarga memulakan perjalanan ke Syria setahun kemudian (2017) menerusi laluan yang ‘selamat’.

Ketika berada di bandar Idlib di Syria pula, wanita itu telah ditinggalkan bersama anak-anaknya sementara suami keluar berjuang untuk militan IS.

“Dia telah bersumpah taat setia kepada seorang militan Indonesia, Abu Jihad, sementara seorang militan warga Pakistan – Abu Bakar – mengajar suami saya bagaimana untuk mengendalikan senjata.

“Dia kerap berjuang di daerah Hama sebelum terbunuh (dalam pertempuran),” jelas Aisyah.

Ketika berada di Syria, Aisyah mendedahkan bahawa ia amat sukar untuk mendapatkan keperluan asas atau kemudahan-kemudahan lain.

“Setiap rumah hanya mempunyai elektrik di antara jam 6 petang dan 11 malam setiap hari. Air segar hanya boleh dibeli oleh seorang penjual, yang 200 liter air pada harga RM8,” katanya.

Bukan itu sahaja, Aisyah menyifatkan tiga bulan pertamanya di Syria sebagai pengalaman yang paling menakutkan kerana pengeboman dan tembakan yang berlaku di Idlib.

Tidak boleh bertahan lagi, wanita itu telah menyeru suaminya untuk pulang ke Malaysia, namun kata-kata terakhirnya kepada Aisyah adalah:

“Jangan bawa anak-anak saya pulang ke Malaysia.”

Namun Aisyah berkata, dia tidak boleh menunaikan permintaan suaminya itu.

“Saya tidak boleh menunaikan permintaannya. Saya telah menghubungi ibu bapa saya dan memberitahu mereka bahawa saya mahu pulang ke rumah.

“Ibu bapa saya berjaya menghubungi Bukit Aman dan tidak lama selepas itu, pegawai-pegawai dari Cawangan Counter Terrorism telah menghubungi saya.

“Mereka tanya banyak soalan, termasuk jika saya benar-benar mahu pulang. Selepas mereka yakin dengan saya, mereka beritahu saya untuk bersedia. Tiada apa yang mampu menggambarkan kelegaan yang saya rasakan ketika mendengar perkara itu,” ujar Aisyah.

Akhirnya pada hujung bulan lepas, Aisyah bersama anak-anaknya pergi ke sempadan Turki, di mana perjalan untuk ke sana mengambil masa 90 minit dari Idlib.

“Kami menemui pihak berkuasa dari Malaysia dan Turki yang menyelamatkan kami dan menghantar kami pulang,” jelasnya.

Walau bagaimanapun, Aisyah tidak ditahan oleh pihak berkuasa, tetapi perlu menjalani kaunseling sebagai sebahagian daripada pemulihan.

Kini, wanita tersebut berharap untuk memulakan kehidupan baru dan mahu memastikan anak-anaknya mendapat pendidikan yang baik.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker