Isu SemasaPolitikTempatan

Tok Pa Pemimpin Kedua Popular Di Kelantan Selepas Allahyarham TGNA

Umum mengetahui bahawa pada 18 September lalu, bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mustapa Mohamed atau lebih mesra dikenali Tok Pa, telah keluar daripada parti itu selepas berkhidmat lebih daripada 40 tahun.

Baru-baru ini pula, beliau secara rasmi telah menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Keputusan saya untuk memilih wadah perjuangan politik baru ini diambil kerana saya percaya ia beri saya peluang kepada saya memainkan peranan lebih berkesan untuk membela kepentingan pengundi saya di Jeli dan rakyat Kelantan secara keseluruhannya di dalam dan di luar Parlimen,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden Amanah merangkap Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu (Mat Sabu) menyatakan bahawa keputusan Tok Pa untuk menyertai Bersatu akan membantu Pakatan Harapan membawa gelombang perubahan dalam landskap politik di Kelantan.

Selain daripada mempunyai imej yang baik dan tidak tercalar, Mat Sabu berkata, bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu merupakan seorang pemimpin yang popular di Kelantan sekali gus mampu mendatangkan sokongan rakyat ke atas Pakatan.

“Kita telah menjalankan satu kajian di Kelantan ketika Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nikmat menjadi Menteri Besar dahulu, dan mendapati bahawa Mustapa merupakan pemimpin kedua popular di Kelantan selepas Tok Guru (Nik Aziz).

“Setakat ini, kita tidak pernah mendengar sebarang kontroversi membabitkan Mustapa, jadi kehadiran beliau di dalam Bersatu boleh membawa gelombang harapan besar di Kelantan,” jelasnya selepas melancarkan pejabat Amanah di Wilayah Persekutuan dan Bandar Tun Razak, pada Ahad.

Mat Sabu juga mempercayai terdapat kemungkinan bahawa lebih ramai pemimpin lain atau bekas pemimpin Barisan Nasional (BN) akan menyertai parti-parti komponen PH.

Dedahnya lagi, selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Amanah secara purata akan menerima 10,000 permohonan keahlian baru dalam sebulan, di mana Kelantan mencatatkan jumlah keahlian yang tertinggi.

“Ini menunjukkan bahawa orang Melayu di pantai timur telah mula menyokong Pakatan Harapan,” kata Mat Sabu.

Sementara itu, Pengerusi Bersatu Pulau Pinang, Datuk Marzuki Yahya berkata, parti itu sedia menerima mana-mana individu yang berminat untuk menyertainya, selagi individu tersebut tidak terpalit dengan isu berkaitan integriti, penyalahgunaan kuasa atau penglibatan dalam sebarang skandal rasuah.

Ujar Marzuki, Bersatu mempunyai jawatankuasa khas untuk menilai dan memeriksa setiap permohonan keahlian sebelum ia diluluskan.

“Perjuangan kami adalah untuk memperkasakan Melayu serta menjadikan ia (Bersatu) sebagai sebuah parti yang bermaruah,” katanya.

Mengulas tentang penyertaan Tok Pa di dalam Bersatu, beliau menyifatkan ia sebagai satu penghijrahan yang positif.

“Kami mengalu-alukan perkara itu (kemasukan Tok Pa), dan saya yakin bahawa penyertaan beliau adalah untuk menyokong perjuangan parti,” tambah Marzuki.

Sumber: The Star, The Sun Daily

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker