AntarabangsaIsu Semasa

Roket Buatan Syarikat Swasta China Gagal Sampai Ke Orbit

Sebuah roket yang dicipta oleh syarikat swasta di China gagal sampai ke orbit selepas berlepas dari Pusat Pelancaran Satelit Jiuquan pada Sabtu, 28 Oktober 2018.

Insiden ini sekali gus memberi ‘tamparan hebat’ kepada syarikat-syarikat swasta di negara itu yang mahu menyaingi syarikat SpaceX milik Elon Musk.

Memetik laporan Reuters, roket Zhuque-1, telah dibangunkan dengan tiga peringkat oleh syarikat Landspace yang berpangkalan di Beijing.

Landspace dalam satu kenyataan berkata, pelancaran kapal angkasa itu ke orbit tidak berjaya kerana mengalami masalah pada peringkat yang ketiga.

“Sebelum roket Zhuque dilancarkan, misinya sudah pun selesai,” kata syarikat itu tanpa memberikan sebarang maklumat lanjut.

Difahamkan, Landspace telah ditubuhkan pada tahun 2015 dan bermatlamat untuk menjadi syarikat swasta China yang pertama untuk menghantar satelit ke orbit.

Menurut Landspace, ia juga merupakan syarikat swasta berlesen yang pertama untuk melancarkan roket, dan Zhuque-1 membawa satelit bernama “Future” atau “masa depan” yang dibina untuk China Central Televisyen, iaitu media milik kerajaan negara itu.

Pada bulan Mei, China telah melancarkan “Chongqing Liangjiang Star” ke ruang angkasa, roket pertama yang dibina oleh syarikat swasta yang dikenali sebagai OneSpace Technology.

Sejak dilantik menjadi pemimpin negara pada tahun 2012, Presiden Xi Jinping telah memberi keutamaan untuk menjadikan China sebagai “kuasa angkasa”.

Kerajaan pimpinannya juga berhasrat untuk menghantar pusat angkasa kekal yang dikawal manusia ke ruang angkasa sekitar tahun 2022.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker