AntarabangsaIsu Semasa

Lion Air: Juruterbang minta kebenaran berpatah balik sebelum nahas

Bot tunda temui serpihan pesawat

Agensi mencari dan menyelamat Indonesia mengesahkan bahawa pesawat Lion Air yang dalam perjalanan dari Jakarta menuju ke pulau Pangkal Pinang di Sumatera, terhempas di perairan Karawang, Jakarta Utara awal pagi tadi.

Pihak berkuasa Indonesia melancarkan operasi mencari dan menyelamat pesawat JT-610 Lion Air yang dilaporkan hilang selepas terputus hubungan dengan pusat kawalan pada jam 6.33 pagi (waktu tempatan).

Pesawat berlepas dari lapangan terbang Jakarta pada 6.20 pagi (waktu tempatan), sebelum dikatakan terputus hubungan pada jam 6.33 pagi – 13 minit selepas berlepas. Ia dijadualkan mendarat di Pangkal Pinang pada 7.20 pagi (waktu tempatan).

Berdasarkan maklumat yang diperoleh perkhidmatan Flightradar 24,pesawat terbabit adalah Boeing 737 MAX 8.

Ketua Bahagian Kerjasama dan Perhubungan Awam Perhubungan Udara Indonesia, Sindu Rahayu berkata pesawat yang membawa 181 penumpang dan 8 anak kapal itu dilaporkan terhempas di koordinat 05 46.15 S – 107 07.16 E, selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta pada 6.20 pagi tadi.

Difahamkan pesawat itu memohon kebenaran untuk pulang ke pangkalan sebelum hilang dari radar.

Sementara itu jurucakap Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta berkata, pihak kedutaan sedang berusaha mendapatkan maklumat lengkap berkenaan senarai penumpang pesawat itu.

Setakat ini belum dapat dipastikan sama ada rakyat Malaysia turut terbabit.

Rakaman video di lokasi kejadian turut menunjukkan kesan tumpahan minyak pada permukaan air.

Jurucakap Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional Indonesia (BASARNAS) Yusuf Latif berkata, pihak berkuasa masih berusaha mengesan bangkai pesawat.

Pada jam 7.15 pagi (waktu tempatan), bot tunda melaporkan menemui serpihan pesawat di lokasi kejadian. Dua lagi kapal, terdiri daripada kapal tangki minyak dan kapal kargo yang berada berhampiran juga sedang menuju ke lokasi kejadian, sebuah bot penyelamat milik Basarnas juga digerakkan ke lokasi.

Jurucakap agensi bencana, Sutopo Purwo Nugroho memuat naik foto di Twitter termasuk apa yang dilihat sebagai gelongsor kecemasan dan beberapa serpihan telefon bimbit. Sehingga jam 9 pagi (waktu tempatan) mereka masih tidak menerima sebarang laporan mengenai penumpang dalam pesawat itu

Indonesia banyak bergantung kepada pengangkutan udara bagi menghubungkan ribuan pulau di negara itu namun rekod sistem keselamatan yang buruk menyebabkan ia sering kali berdepan dengan tragedi sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

– AFP / Berita Harian/ The Jakarta Post

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker