AntarabangsaIsu Semasa

Kastam NZ Kini ‘Berhak’ Tahu Kata Laluan Alat Peranti Pelancong

New Zealand telah melaksanakan undang-undang baru yang mula berkuatkuasa pada 1 Oktober, di mana pihak kastam negara itu kini mempunyai kuasa untuk memeriksa dan meminta kata laluan (password) alat peranti elektronik milik pelancong.

Sekiranya enggan memberi kata laluan kepada pihak berkuasa semasa pemeriksaan dijalankan, pelancong boleh didakwa dan dikenakan denda bernilai kira-kira AS$3,300 (RM13,720).

Difahamkan, New Zealand juga menjadi negara yang pertama di dunia untuk mengenakan penalti terhadap kesalahan ini, dan rakyat tempatan yang pulang ke tanah air juga tidak terkecuali daripada undang-undang berkenaan.

“Kita tidak tahu mana-mana negara lain yang telah menguatkuasakan undang-undang yang berpotensi mengenakan penalti ke atas individu-individu yang tidak memberi kata laluan mereka,” kata Terry Brown, jurucakap Kastam New Zealand.

Sebelum ini, pihak kastam New Zealand, sama seperti negara-negara lain termasuk Amerika Syarikat, sudah mempunyai kuasa untuk memeriksa atau merampas telefon bimbit serta alat peranti lain yang disyaki mengandungi bukti kegiatan jenayah.

Namun, undang-undang sebelumnya tidak mewajibkan pelancong untuk membuka alat peranti mereka menerusi kata laluan, pengesan wajah atau cap jari, ketika pemeriksaan dijalankan.

Menurut Brown, sejurus kata laluan diberi kepada pihak berkuasa, “pemeriksaan awal” akan dilaksanakan ke atas alat peranti pelancong, dengan ‘flight mode’ atau mod penerbangan diaktifkan.

Kemudian, pegawai yang menjalankan pemeriksaan itu hanya akan memeriksa fail-fail yang telah disimpan di dalam memori peranti berkenaan.

Maklumat-maklumat ‘history’ laman sesawang, serta sebarang data yang dimuat naik di dalam penyimpanan ‘cloud’ tidak akan diperiksa.

Sehubungan dengan itu, sesebuah alat peranti boleh dirampas bagi tujuan pemeriksaan lanjut hanya jika:

1. Pemeriksaan awal mendapati bahawa alat peranti itu menyimpan bahan-bahan yang mencurigakan

2. Pemilik enggan memberi kata laluan kepada pihak berkuasa

Tambah Brown lagi, undang-undang ini bertujuan untuk memperluaskan lagi perlindungan terhadap para pelancong, dengan menetapkan garis panduan mengapa pemeriksaan dilaksanakan.

Tegas beliau, pegawai-pegawai pemeriksa terlebih dahulu perlu mengesyaki pelancong telah melakukan kesalahan bagi membendung jenayah-jenayah yang berpotensi untuk berlaku, termasuk menyimpan bahan-bahan pornografi kanak-kanak, jenayah kewangan, dadah, dan sebagainya.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker