AntarabangsaIsu Semasa

Arab Saudi Tidak Mampu Pertahankan Kuasa Tanpa Sokongan AS?

Awal bulan ini, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump telah mengeluarkan sebuah kenyataan yang bersifat ‘tidak diplomatik’ terhadap sekutu rapatnya, Arab Saudi.

Trump berkata, beliau pernah memberi ‘amaran’ kepada Raja Salman bahawa tanpa sokongan tentera AS, baginda tidak akan mampu mempertahankan kuasanya walaupun untuk tempoh “dua minggu”.

“Kita melindungi Arab Saudi. Adakah anda mengatakan mereka kaya. Dan saya menyayangi Raja Salman.

“Tetapi saya kata: Raja, kami (AS) melindungi kamu. Kamu mungkin tidak akan dapat bertahan selama dua minggu tanpa kami. Kamu perlu menanggung tentera kamu sendiri,” kata Trump.

Walaupun kata-kata kasar itu dikeluarkan, pentadbiran Trump menjalinkan hubungan yang rapat bersama Arab Saudi.

Memetik laporan Reuters, AS melihat sekutunya itu sebagai “benteng pertahanan” bagi menentang perancangan Iran di rantau Asia Barat.

Pada tahun lepas juga, Trump sebagai presiden, telah menjadikan Arab Saudi sebagai destinasi kunjungan antarabangsanya yang pertama.

Sementara itu, jutawan hartanah berkontroversi itu turut menghubungi Raja Salman bagi membincangkan usaha-usaha untuk mengekalkan bekalan demi memastikan kestabilan pasaran minyak serta pertumbuhan ekonomi global.

Arab Saudi merupakan pengeksport minyak utama di dunia dan ketua de facto Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC).

Difahamkan, OPEC telah dikritik oleh Trump kerana meletakkan harga minyak pada kadar yang tinggi.

Bercakap di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada bulan lalu, beliau menyatakan bahawa negara-negara anggota OPEC “seperti biasa, terus menggasak seluruh dunia.”

“Kita melindungi negara-negara ini tanpa mendatangkan apa-apa, dan kemudian mereka mengambil kesempatan ke atas kami dengan memberi minyak pada harga yang tinggi.

“Ini tidak bagus. Kita mahu mereka berhenti meningkatkan harga, dan kami mahu mereka mula menurunkan harga,” tegas Trump.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker